Kini, peminat kung fu tempatan berpeluang menyaksikan sendiri secara langsung pementasan Soul Of Shaolin: Hui Guang Story yang dibawakan Nederlander Worldwide Entertainment.

Pementasan yang julung kali diadakan di negara ini sedang dipentaskan selama sebulan bermula 28 Mei lalu di Genting International Showroom, Genting Highlands.

Menjadi pementasan pertama di dunia yang menggabungkan seni kung fu dan muzikal, teater ini menyaksikan 18 jenis kung fu dipersembahkan menerusi penceritaan tanpa dialog yang dipentaskan oleh 31 pengamal kung fu Shaolin dari China.

Teater ini menceritakan tentang kehidupan pengamal kung fu Shaolin, Hui Guang, yang menjadi yatim piatu setelah ditinggalkan ibunya sewaktu kecil. Hui Guang kemudian diselamatkan seorang sami dan dilatih menjadi antara pengamal kung fu Shaolin tersohor ketika zamannya.

Pengarah pementasan tersebut, Xue Wei Jun ketika ditemui memberitahu, Soul Of Shaolin: Hui Guang Story mengambil tempoh 14 tahun sebelum ia dipertontonkan buat kali pertama kepada orang ramai. Justeru, kesemua pelakon telah menjalani latihan penuh untuk menjadi pengamal kung fu Shaolin profesional.

“Mereka (pelakon) terdiri daripada individu berumur lapan hingga 30 tahun yang dilatih menjadi pengamal kung fu Shaolin di pusat pertahanan diri di China. Oleh itu, semua yang dipertontonkan adalah 100 peratus aksi kung fu Shaolin sebenar.

“Dalam pada itu, pementasan ini merupakan kisah benar yang berlaku sewaktu peperangan dalam sejarah tamadun China. Namun jalan cerita diperindahkan dengan sedikit pembaikan,” katanya.

Wei Jun berkata, Soul Of Shaolin: Hui Guang Story bukan sekadar pementasan semata-mata, malah lebih kepada pertukaran budaya antara dua negara.

Justeru, pihaknya amat gembira kerana diberi peluang mempersembahkan pementasan tersebut kepada masyarakat di Malaysia.

Bagi peminat yang ingin melihat sendiri kehebatan pementasan yang pernah merangkul anugerah Tony pada 2009 ini, boleh layari www.rwgenting.com atau hubungi 03-27181118 untuk pembelian tiket.