Menurut Pengarah Urusannya, Muhamad Fahdli Harun, akademi tersebut bukan sahaja menumpukan perhatian terhadap kemahiran dari segi skil dan teknikal semata-mata, malah turut melakukan pembangunan sukan dari segi praktikal, teori, fizikal dan mental.

“Pemain turut didedahkan dengan pemantapan ilmu berkaitan futsal, di samping peningkatan motivasi dari segi akhlak dan sahsiah yang merujuk kepada beberapa elemen kaedah pelaksanaan.

“Pada peringkat pertama, kita akan melakukan klinik futsal secara berpusat, diikuti jelajah ke sekolah. Ini bermakna program yang disediakan bukan sahaja bermatlamat untuk memberi manfaat kepada peserta, malah kita juga menawarkan perkhidmatan kepada mana-mana sekolah yang mahukan usaha seperti ini.

“Buat masa ini, penyertaan bagi kategori Junior Active berusia 13 hingga 18 tahun dan kategori Junior Elit berusia 19 hingga 25 telahpun penuh. Selepas ini, kita akan tumpukan penyertaan untuk kategori Junior Star berusia lapan hingga 12 tahun dan kategori perempuan,” katanya ketika ditemui S2 selepas Majlis Perasmian Penubuhan Akademi Junior Futsal Malaysia baru-baru ini.

Tambahnya, pihaknya akan menilai potensi setiap pemain dan akademi itu merupakan satu ruang untuk membantu mereka bergerak lebih jauh.

“Memandangkan kita dibarisi jurulatih bertauliah dalam kalangan pemain futsal profesional itu sendiri, maka jaringan atau ruang sudut untuk kembangkan bakat pemain muda amat besar.

“Apabila mereka dikenal pasti sebagai pemain berpotensi di peringkat junior, mereka akan diberi peluang dan pendedahan ke pelbagai peringkat pemilihan sama ada di peringkat kelab, negeri atau negara.

“Justeru, akademi ini bukan sahaja melahirkan pemain berkualiti, malah mungkin sebagai satu kerjaya dalam bidang sukan atau dalam bidang kejurulatihan,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengarah Teknikal, Mohd. Fairuz Mohd. Noor, selain memperuntukkan masa setiap minggu untuk sesi latihan, akademi itu turut mendedahkan peserta dengan beberapa modul yang lain.

“Kebanyakan pemain hanya tahu bermain tetapi tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya cedera. Justeru, kami juga mengambil pendekatan menjemput pakar fisioterapi berpengalaman dari Majlis Sukan Malaysia cawangan Selangor untuk menerangkan serba sedikit mengenai kecederaan dan cara-cara menangani kecederaan.

“Kami juga menjemput pakar dari Universiti Teknologi Mara untuk memberi penjelasan mengenai antibodi dalam tubuh. Ini penting bagi pemain membuat persiapan sebelum masuk gelanggang. Ini bermaksud akademi tidak memberi latihan fizikal semata-mata, malah menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, bagi mereka yang berminat untuk menyertai atau menaja Akademi Futsal Junior Malaysia, boleh hubungi talian jurulatih iaitu 013-3340 000 (Fahd) atau 017-3919 600 (Fairuz).

Yuran bagi setiap peserta adalah RM100 sebulan, sementara pendaftaran dan baju-t diberikan percuma.