Pengarah Eksekutif Pemasaran dan Jualan Tropicana, Ung Lay Ting berkata, pihaknya gembira kerana sekali lagi berpeluang menjayakan Walk On & Ride On. Tambahnya, lebih menggembirakan apabila acara simbolik tersebut menarik penyertaan ramai.

“Kejayaan ini telah merealisasikan matlamat Tropicana untuk mengajak orang ramai mengamalkan gaya hidup cergas dan memahami konsep kehidupan mesra alam di kawasan perbandaran Tropicana Aman,” katanya kepada S2.

Acara itu turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti sampingan dan cabutan bertuah. Menerusinya, sebanyak 70 hadiah termasuk lima basikal diberikan kepada peserta bertuah.

Seorang peserta, Mohd. Zulfadly Abd. Majid, 30, memberitahu, dia pernah menyertai acara anjuran Tropicana sebelum ini.

Katanya, kali ini, dia hanya berkesempatan menyertai aktiviti berjalan kaki yang lebih santai.

“Saya tidak sempat menyertai acara berbasikal. Berjalan sejauh dua kilometer sudah memadai untuk saya dan isteri menghabiskan masa terluang dan mengeluarkan peluh.

“Kami berpeluang melihat kawasan sekitar. Kemudahan untuk aktiviti kecergasan di sini cukup baik. Malah, di Tropicana Aman ini, ada trek berjalan dan berbasikal untuk penduduk beriadah dan bersenam.

“Walk On & Ride On wajar diadakan setiap tahun kerana acara ini sesuai untuk semua peringkat umur. Selain itu, seisi keluarga boleh menyertai acara ini, sekali gus mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,” jelasnya.

Seorang lagi peserta, Nor Amina Hamdan, 31, yang kali pertama menyertai acara seumpama itu memberitahu, dia cukup teruja dan gembira kerana diberi peluang.

Menurutnya, lebih mengujakan apabila yuran penyertaan cukup berpatutan berbanding acara kecergasan lain yang kebanyakannya mengenakan yuran agak tinggi.

Katanya, dengan yuran serendah itu, semua orang mampu menyertainya.

“Saya sarankan Tropicana meneruskan penganjuran seperti ini kerana sedikit sebanyak mendekatkan peserta dengan persekitaran berbeza di sekitar kawasan perumahan.

“Ini sekali gus menggalakkan masyarakat untuk lebih aktif bersukan dan sihat,” ujarnya.