Menggunakan konsep pejabat terbuka yang semakin banyak syarikat mengadaptasi konsep yang mula dipelopori oleh syarikat besar seperti Google, persekitarannya berwarna-warni dan berbilang dimensi direka khas untuk mencetus inspirasi yang digambarkan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FLP, Fallon Loo iaitu ‘bekerja, bermain dalam suasana yang memikat’.

Tiada kubikel, tiada bilik istimewa untuk pekerja malah tiada bilik khas untuk Fallon, ibu pejabat baharu ini menggalakkan pekerja di FLP untuk menggunakan setiap ruang yang disediakan mengikut keselesaan mereka dan memberi ketenangan selain memacu kekreatifan pekerja.

Hiasan dalaman ibu pejabat baharu yang menelan belanja RM3 juta ini berkonsepkan hiasan dalaman perindustrian moden yang banyak bermain dengan elemen semula jadi seperti batu-bata, kayu dan besi digabung pula dengan konsep garaj yang vintaj.

Hiasan dan aksesori seperti kereta vintaj, meja biliard, buaian, bangku taman merupakan antara tarikan yang memberi inspirasi kepada kakitangan untuk bekerja, bermain, menyerlahkan kreativiti dan produktiviti.

Pejabat baharu ini menyediakan bilik kerja, ruang lapang, zon perbincangan, ruang istirahat dalam pelbagai jenis, saiz dan fungsi bagi mewujudkan pejabat impian untuk setiap anggota FLP.

Menurut Fallon, pelancaran ibu pejabat baharu dan penuh inspirasi ini mencerminkan langkah strategik untuk meningkatkan prestasi perniagaan syarikat dengan mendorong pasukan profesionalnya mencapai kecemerlangan dalam kerjaya profesional dan kehidupan peribadi masing-masing.

“Inilah kunci untuk membina budaya yang mendorong kecemerlangan kerja dan produktiviti yang lebih tinggi, memupuk dan menyemarakkan semangat kakitangan, dan melahirkan generasi profesional baharu yang yakin, berwibawa dan berpuas hati dengan pencapaian masing-masing di FLP.

“Kami ingin menyediakan persekitaran kerja yang dinamik untuk menyuburkan minda yang segar dan kreatif. Usaha ini akan disokong oleh latihan yang berterusan, pengiktirafan berasaskan prestasi dan peluang kenaikan pangkat untuk memacu kami ke barisan hadapan dalam industri ini,” ujar Fallon ketika majlis perasmian ibu pejabat FLP, baru-baru ini.

Tambahnya, dia mendapat idea menyediakan pejabat dengan konsep terbuka sewaktu tinggal di Amerika Syarikat yang mana di sana banyak syarikat mengamalkan budaya di pejabat yang berkonsepkan sama rata dan memberi kebebasan kepada pekerja tanpa undang-undang yang ketat yang seolah-olah mengongkong.