Berkecimpung dalam lautan lukisan sejak tahun 1960 hingga kini, telinga pernah mendengar puluhan kali kata-kata seumpama: pelukis memilih untuk menghasilkan abstrak sebab amat mudah dan cepat siap tetapi kurang berguna. Lebih tragis, sekurang-kurangnya sepuluh orang pelukis realisme tanah air yang berpendirian demikian. Saya pernah menjawab bahawa semua pelukis abstrak tegar memulakan karya dengan aliran realisme, antaranya Pablo Picasso, Salvador Dali, A.Latif Mohiddin, Dennis, dan Ibrahim Hussein.

Juga saya menjelaskan ketika kami di kolej pada tahun 1976, pensyarah Abdullah mensyaratkan kami menghasilkan karya abstrak sebagai projek akhir tahun. Namun, ketika menyiapkan sarjana (dua kali) berkaitan bidang lukisan, penyelia tidak pula meminta saya menyiapkan sebarang lukisan.

Menerusi esei ini saya ketengahkan lima buah karya terbaik daripada lima pelukis aliran realisme (potret) iaitu Yasutomo Oka (Jepun), Alexis Chernigin (Russia), Pieter Wagemans (Belgium), Jove Wang (China/USA) dan Guan Zeju (China/USA).

Juga, lukisan abstrak Pablo Picasso (Sepanyol/Peranchis), Salvador Dali (Peranchis), A.Latif Mohiddin (Malaysia), Ibrahim Hussein (Malaysia) dan Dennis (Ukrain). Diakui bahawa potret perempuan muda karya Yasu amat halus, comel dan menyaingi foto. Potret perempuan muda pandangan dari belakang dan sisi karya Alexis juga ‘hidup’. Pieter hasilkan gambaran perempuan yang berkulit halus. Jove pula melukis dua orang kanak-kanak perempuan yang comel manakala Guan Zeju memang jagoan gambaran perempuan muda China yang autentik.

Picasso menggambarkan perempuan yang pada pendiriannya sebagaimana yang disebutnya: perempuan, jika tidak menjadi permaisuri, pasti jadi pencuci lantai. Salvador ketengahkan ragam dunia yang kaya unsur kelirukan manusia dan mengganggu kebenaran.

Perbandingan

Latif hasilkan gambaran konsep dan falsafah pertumbuhan atau growth, manakala Ibrahim Hussein pula utarakan karakteristik manusia yang sekali imbas dipandang itu amat indah. Dennis menggambarkan perempuan yang menyimpan derita kerana kemunduran, kemiskinan dan penindasan.

Sebahagian pihak tidak suka apabila harga lukisan dinyatakan, namun, untuk perbahasan, wang masih menjadi katalis kepada pelukis untuk survival. Perlu diketahui bahawa harga sesebuah karya Yasutomo Oka, Alexis, Pieter dan Jove Wang adalah sekitar AS$10,000 sebuah. Karya Guan Zeju mencecah AS$50,000. Dan, harga sesebuah karya Picasso ialah AS$20 juta, Salvador, AS$10 juta, Latif dan Ibrahim, AS$500, manakala Dennis sekitar AS$100.

Awal-awal lagi wajar dinyatakan bahawa membandingkan karya abstrak dalam kumpulan ini dengan karya-karya realisme potret ibarat perbandingan pakar shaolin, samurai, aikido mahupun ninja di gelanggang dengan pakar gimnastik. Yang satu, kaya dengan pemikiran, sebalik falsafah dan prinsip, manakala yang satu lagi indah, berpemikiran cetek dan terdedah pada bahaya patah atau lumpuh. Pakar jimnastik tidak lama dalam bidangnya, katimbang pakar seni pertahanan diri yang makin lama makin selamat. Maknanya? Harga Mona Lisa tidak semahal karya-karya Vincent van Gogh, Picasso, malah karya Latif Mohidin dan Ibrahim Hussein.

Pemikiran dalam karya juga berbeza iaitu yang satu mudah difahami ibarat buku kanak-kanak tadika, selain aksaranya bersaiz besar, maknanya pun tidak rumit. Yang satu lagi ibarat buku bacaan profesor emeritus.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa mengapa ilmu dipayahkan dan terbukti apabila adanya lukisan abstrak. Picasso menjelaskan juga menerusi lukisan lembu yang dilukiskannya berperingkat-peringkat, bermula lembu berbadan lengkap dan gemuk dan di penghujung lukisan, hanya garisan diguna pakai untuk tanduk, kepala, badan dan kaki. Kata Picasso, ilmu amat banyak di dalam alam ini. Jika orang Muslim memahaminya, segera teringat akan firman Allah yang bermaksud, ilmu Allah itu banyak, dan jika air laut dijadikan tinta, pasti belum cukup. Saidina Ali pernah mengarang buku tebal yang isinya berupa huraian al-Fatihah. Apabila amat banyak, cukup sekadar nyatakan simbol dan apabila muncul manusia bijaksana, mereka memahaminya lantas mengembangkan ilmu baru.

Dalam konteks ini, boleh kita renungi sifat hakiki lukisan realisme potret iaitu melihatnya terasa indah, namun begitu, apa yang tidak mencukupi? Interaksi terhad iaitu lukisan mati, bukan setakat tidak boleh bertanya khabar, malah mahu mencium bau yang mungkin wangi pun kehampaan. Namun demikian, memandang lukisan abstrak, pertamanya, pemerhati mengesan perasaannya sendiri, kemudian, memikirkan sesuatu. Jika perlukan bantuan, katalog didapatkan dan ada catatan tajuk. Itu boleh menjadi penunjuk ke arah betul.

Seperkara lagi, lukisan abstrak menyamai sifat alam semula jadi yang ‘kun faya kunkan oleh Allah. Ia kaya rahsia, dan jika binatang tidak boleh berfikir, manusialah yang melakukannya. Jangan lupa, karya-karya kesenian mendahului rekacipta sains dan teknologi di dunia.