Bagaimanapun, penggemar ramen beragama Islam perlu berhati-hati kerana banyak yang masih tidak halal.

Namun, kebimbangan itu mungkin terubat apabila menikmati ramen yang disediakan di Restoran Made By Illy di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Dibuka awal tahun ini oleh Illiana Zakaria, 27, restoran ini berkonsepkan fusion Jepun dengan ramen menjadi hidangan utama.

Sememangnya tujuan utama ia dibuka ialah bagi membolehkan masyarakat Islam yang menyukai ramen menikmati sajian yang halal tanpa rasa was-was.

Menurut Illiana, ketika ini tidak banyak restoran ramen halal di Malaysia berbanding restoran makanan Arab mahupun Thai.

Dia yang menggemari ramen sejak zaman sekolah lagi, berkata, sajian tersebut merupakan sejenis mi sup yang dihidangkan dengan sup daging lembu atau ayam.

Bagaimanapun, sup ramen tradisional Jepun terlalu pekat dan masin, kurang menepati selera masyarakat Malaysia.

“Perbezaan ramen yang disediakan di sini, rasanya dibuat mengikut selera orang Malaysia. Selain itu, mi ramen di restoran ini kami buat sendiri menggunakan tepung roti dan tepung kek.

“Biasanya Ramen dimakan bersama dua jenis sup, iaitu sup campuran tulang lembu dan tulang ayam yang direneh atas api perlahan selama 18 jam sehingga tulangnya hancur.

“Bagi yang vegetarian (pemakan sayur) pula, kami menyediakan sup sayur-sayuran. Ramen dihidangkan di dalam mangkuk, dituang sup di atasnya dan ditambah dengan sos kicap, minyak ayam, daun bawang, tauge dan kepingan rumpai laut.

“Terdapat beberapa menu ramen dan setiap satunya dihidangkan dengan bahan-bahan yang berbeza. Ramen boleh dimakan pada bila-bila masa sama ada sebagai makanan ringan atau berat,” kata Illiana yang bertindak sebagai pengarah dan cef eksekutif Made By Illy.

Jelas Illiana lagi, dia mempelajari sendiri cara membuat ramen.

Segalanya bermula apabila dia pergi ke rumah kawannya yang berbangsa Jepun dan melihat kawannya begitu berselera menikmati ramen.

Pulang ke rumah, dia cuba membuat dan memasak ramen. Beberapa kali mencuba akhirnya dia berjaya membuat ramen yang memenuhi selera orang lain seperti keluarga dan kawan-kawan.

Kata Illiana, ramen yang paling mendapat sambutan dan popular di restorannya, ialah Ramen Short Ribs yang dijual pada harga RM25 semangkuk. Ramen ini dihidangkan bersama hirisan daging yang cukup mengenyangkan.

Dalam seminggu sebanyak 35 kilogram (kg) daging lembu diperlukan bagi penyediaan ramen jenis ini.

Sementara ramen sayur-sayuran merupakan yang paling rendah iaitu RM13 semangkuk. Permintaan untuk ramen sayur-sayuran ini juga amat menggalakkan.

Ramai juga pelanggan yang membawa pulang ramen untuk dimakan di rumah. Mereka hanya perlu memanaskan sup dan kemudian tuang sahaja ke atas mi ramen.

Selain menyediakan ramen, restoran tersebut turut menyediakan pilihan makanan lain seperti pasta, burger dan beberapa jenis kek supaya pelanggan mempunyai beberapa pilihan makanan untuk dimakan.

Istimewanya di sini, Illiana menyediakan sendiri daging burger, manakala kek disediakan oleh ibunya yang pakar membuat kek.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 11 pagi hingga 10 malam, restoran ini juga merupakan destinasi bagi mereka yang mahu menikmati waktu santai sambil makan-makan dan berpeluang mendengar, bermain muzik dan boleh juga menyanyi.

Ingin mengetahui lebih lanjut, hubungi Illiana di [email protected]