“Setiap negara mempunyai budaya yang berbeza. Oleh kerana itu, saya ingin mengetahui setiap perbezaan tersebut. Justeru, impian saya mahu menikmati perjalanan mengelilingi dunia bersama orang tersayang.

“Tambahan lagi banyak tempat di negara asing yang mempunyai pemandangan cantik. Setakat ini, saya pernah melancong ke negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam. Sasaran akan datang adalah meneroka negara di benua lain seperti Jepun dan New Zealand,” katanya kepada S2.

Bagi mencapai impian itu, dia berazam menjadikan butik Yasminazhartw yang diusahakan kini lebih dikenali dan mampu menjana lebih pendapatan pada masa akan datang.

Dalam memastikan busana yang dihasilkan menepati cita rasa pelanggan, Raihan bukan sahaja menekankan aspek kecantikan pakaian yang dihasilkan, tetapi turut memberikan keutamaan kepada kualiti dan harga mampu milik.

“Matlamat saya adalah mahu masyarakat mampu memiliki busana yang cantik dari butik saya pada harga berpatutan,” ujarnya.

Ditanya mengenai peristiwa yang sukar dilupakan, menurut Raihan, sehingga kini dia tidak boleh melupakan pengalaman mengalami kereta rosak di tepi lebuh raya ketika memandu berseorangan dari Melaka ke Klang.