Bukan sahaja memiliki wajah yang tampan, putera berusia 34 tahun ini juga seorang pencinta haiwan, aktif dengan sukan yang menguji adrenalin, suka menunggang kuda, banyak terlibat dengan kerja kebajikan serta pencinta seni. Namun yang membuatkan ramai wanita cair ialah bakatnya dalam menulis puisi.

Lebih dikenali sebagai Fazza iaitu nama penanya dalam dunia penulisan puisi, namun putera kacak itu lebih dekat di hati rakyat kerana aktif di dalam media sosial sehingga digelar raja Instagram kerana memiliki pengikut lebih 5.7 juta! Malah, dia juga dipilih sebagai salah seorang daripada 100 ‘personaliti global’ untuk Snapchat dan turut mempunyai pengikut seramai 2.93 juta di Twitter.

Dari laman media sosial Fazza, pengikutnya dapat melihat kehidupan luar biasa beliau.

Fazza merupakan anak kedua daripada 13 orang anak kepada Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, pemerintah Dubai dan ibunya, Sheikha Hind Maktoum. Pada tahun 2008, Fazza telah dilantik sebagai Putera Mahkota Dubai, melangkaui abangnya, Sheikh Rashid kerana dilaporkan dia lebih sesuai dengan peranan tersebut. Rashid kemudian meninggal dunia kerana sakit jantung pada tahun 2015.

Beliau turut menghadiri kolej yang sama dengan kerabat British, Akademi Ketenteraan Sandhurst di United Kingdom yang mana Putera William dan Harry juga merupakan alumni, dan menghabiskan pengajian pada tahun 2001. Fazza juga menuntut di London School of Economics dan mengambil beberapa kursus dalam bidang ekonomi.

Beliau turut bergerak aktif dalam pelbagai bidang dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Eksekutif Dubai pada 2009. Fazza juga merupakan ahli Majlis Sukan Dubai serta Pusat Autisme Dubai dan juga Ketua Pertubuhan Sheikh Mohammed bin Rashid Untuk Ketua Usahawan Muda, inisiatif bertujuan meletakkan asas bagi kerajaan ‘pintar’, menjadikan kerajaan lebih mudah diakses rakyat melalui penggunaan teknologi.

Pencinta seni fotografi ini juga merupakan seorang atlit yang hebat. Sering memenangi pertandingan sukan berkuda termasuk memenangi pingat emas dalam pertandingan sukan berkuda ketahanan 160 kilometer. Beliau juga gemar aktiviti free diving.

Fazza menyukai sesuatu yang menguji adrenalin seperti wing walking, fly boarding, zip lining melintasi Burj, mengambil gambar dari puncak Burj Khalifa, menyelam atau meluncur di glasier. Namakan apa sahaja sukan lasak yang mengerikan, Fazza telah melakukannya.