Tujuan utama bengkel yang telah beroperasi sejak hampir empat tahun lalu itu diwujudkan bertujuan memberi kemudahan kepada pelanggan, terutamanya yang membeli kenderaan dari Zaibar Automobile Industries Sdn. Bhd. untuk menyelenggara kenderaan masing-masing.

Pengurusnya, Asmaddi Jantan berkata, bengkel tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu kereta dan juga motosikal serta beroperasi enam hari seminggu dari Isnin hingga Sabtu.

Katanya, perkhidmatan menyelenggara kereta merupakan yang paling mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan pelanggan Zaibar Automobile Industries Sdn. Bhd. tetapi juga pengguna kenderaan lain.

“Kami dalam usaha menjadikan bengkel ini sebagai sebuah pusat sehenti kepada pemilik kenderaan, khususnya import untuk menyelenggara kenderaan mereka. Boleh dikatakan bengkel ini menyediakan hampir kesemua perkhidmatan penyelengaraan kenderaan.

“Memang ada beberapa perkhidmatan yang tiada di sini seperti mengecat, rekaan dalaman kenderaan, selenggara tayar tetapi kami akan `sub’ kepada bengkel yang mempunyai rantaian dengan kami.

‘‘Dengan cara ini, pelanggan tidak perlu fikir untuk mencari bengkel-bengkel yang menyediakan perkhidmatan tersebut, hantar sahaja kepada kami dan biar kami uruskan semuanya.

“Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan menunda kenderaan yang bukan sahaja di sekitar Lembah Klang atau Shah Alam tetapi meliputi seluruh negara.

‘‘Contohnya pelanggan di Kedah, kami akan menghubungi pihak kami di sana dan hantar ke bengkel berhampiran,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Asmaddi memberitahu, rata-rata pelanggan memberikan komen positif terhadap perkhidmatan yang disediakan dan biasanya mengesyorkan kepada rakan-rakan mereka untuk menghantar kenderaan ke bengkel tersebut.

Katanya, perkara itu memberi impak positif kepada perkembangan bengkel tersebut memandangkan masih ramai belum tahu bahawa Zaibar Automobile Industries Sdn. Bhd. mempunyai bengkel menyelenggara kenderaan.

“Pelanggan yang datang ke bengkel ini bukan hanya dari Shah Alam, tetapi Kota Kamuning dan Puchong. Ada juga pelanggan dari Kedah serta Johor yang menghantar kenderaan mereka untuk diselenggara di sini,” jelas beliau.

Asmaddi berkata, pihaknya bersedia sekiranya ada perancangan untuk membuka cawangan baharu terutamanya daripada aspek tenaga kerja mahir.

“Dalam masa terdekat ini, perancangan kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan tayar termasuklah aspek pengimbangan dan penjajaran.

‘‘Sudah tentu kami perlu mengeluarkan modal untuk membeli kelengkapan perkhidmatan tersebut tetapi itu merupakan sasaran kami,” ujar beliau.