Bagi jenama motosikal Kawasaki, kemunculan Z900RS memberikan pilihan lebih luas kepada peminat motosikal berkuasa tinggi dalam memiliki jentera dua roda dengan reka bentuk retro namun tidak berkompromi dari segi kuasa yang dimiliki.

Dihasilkan menyerupai reka bentuk Kawasaki Z1 900 pada tahun 1971 namun, jentera terbaharu ini disaratkan de­ngan pelbagai teknologi moden.

Edisi khas didatangkan de­ngan warna asal Z1 900 iaitu jingga manakala versi standard pula dihasilkan dengan warna hijau gelap.

Walaupun reka bentuk asal Z1 900 digunakan sebagai asas Z900RS, namun jentera ini dikuasakan menggunakan platform Kawasaki Z900 yang dikenali sebagai jentera Naked pilihan bagi peminat motosikal berkuasa tinggi.

Ketika diberi peluang menunggang uji Z900RS ini, anda akan mengambil masa yang singkat untuk mengenali prestasi motosikal ini dengan mudah.

Namun ada satu perkara yang perlu diambil kira oleh penunggang yang mempunyai ketinggian ‘comel’ macam saya kerana pelana standard yang disediakan ialah 800 milime­ter.

Sedikit menjingkit, namun ia tidak menyukarkan untuk terus memacu jentera dua roda disebabkan Z900RS sudah ditala mengikut ke­se­suaian reka bentuk retro yang ditampilkan.

Dijana oleh enjin empat silinder sebaris 948cc DOHC penyejukan cecair yang sama se­perti Z900, namun kuasa kuda Z900RS ini ‘terpaksa’ dikurangkan sebanyak 14PS, menjadikannya hanya 111PS sahaja.

Tapi jangan terkejut jika puncak kuasanya sampai lebih awal iaitu pada kadar 8,500 rpm berbanding Z900 yang menghasilkan 125PS pada 9,500 rpm manakala daya kilasnya pula dapat dinikmati lebih awal pada 6,500 rpm (Z900 98.6Nm pada 7,700 rpm) dengan transmisi gear enam kelajuan.

Perubahan turut dilakukan pada nisbah gear berbanding Z900 yang mana gear lima bagi Z900RS ini lebih pendek berbanding gear enam dipanjangkan.

Namun yang paling penting, penggunaan klac berganti-ganti dan pembabas (assist and slipper), memudahkan penunggang untuk menukar gear pada kelajuan yang disukai tanpa melalui sebarang kesukaran.

Dilengkapi dengan sistem brek antikunci (ABS), Z900RS ini juga turut dilengkapi teknologi sokongan penunggang Kawasaki iaitu dua mod cengkaman Kawasaki (KTRC) bagi tunggangan di lokasi yang lebih licin.

Dengan kemampuan tangki bahan api 17 liter yang mampu membawa penunggang sekitar 200 hingga 250 kilometer setangki penuh, penunggang boleh memikirkan untuk mengembara merentas sempadan namun pelana sedikit tidak selesa dalam tunggangan yang lama kerana agak keras dan tirus.

Apa pun, itu tidak memberikan halangan kepada sesiapa yang ingin menggunakan jentera ini setiap hari, kerana ia mudah dikendalikan lebih-lebih lagi dengan bunyi ekzos yang ‘seksi’.