Menuju penghujung 1990-an, kereta ini mula berkurangan di jalan raya berikutan kemunculan model-model baharu dengan reka bentuk lebih aerodinamik. Sekarang, model ini sudah menjadi amat rare dan jarang ditemukan di atas jalan raya.

Namun, kini model ini kembali mendapat permintaan dan dicari oleh ramai peminat kereta retro. Cuma, harga kereta yang terjaga dan dalam keadaan baik, agak mahal iaitu mencecah puluhan ribu ringgit.

Bagi model dengan keadaan badan yang kurang elok boleh diperolehi pada harga di bawah RM5,000. Cuma, pembeli terpaksa mengeluarkan belanja yang besar bagi proses restorasi. Tapi bagi mereka yang sanggup dan ada wang, itu bukanlah satu masalah.

Seorang pemuda dari Manjung, Perak, K. Murli adalah antara individu bertuah kerana memiliki model Corolla KE70 Wagon ini. Namun, sehingga kini dia telah membelanjakan lebih RM40,000 bagi mentransformasikan sebuah kereta lama kepada sebuah jentera yang berjaya memenangi banyak pertandingan autoshow.

Kereta miliknya itu mendapat gelaran The King’kerana sering mengungguli pelbagai kategori dalam pertandingan autoshow terutama di seluruh Perak. Antara kategori yang pernah dimenanginya termasuk terbuka standard serta pelekat, audio, rim, kereta oldskool, pencahayaan, warna dan ruang enjin terbaik. Murli, yang bekerja sebagai penguatkuasa di Majlis Perbandaran Manjung (MPM), membeli kereta tersebut pada harga RM5,000 lima tahun lalu. Ini gara-gara terpengaruh dengan rakan-rakannya dari kelab Oldskool Manjung.

Janggal

Bagi menjaga keaslian kereta ini, Murli mengekalkan enjin asal bersesaran 1,300cc. Baginya, nadi tersebut sudah cukup berkuasa untuk menggerakkan kereta itu. Dia juga mengekalkan bahagian-bahagian lain termasuk stereng, kusyen dan papan pemuka (dashboard).

Menurut Murli, kereta tersebut dibeli dan diubahsuai khusus untuk memasuki pertandingan autoshow. Justeru, tidak hairanlah dia berani melakukan pengubahsuaian yang agak janggal bagi kereta kegunaan harian seperti menggunakan pintu gunting dan memasang jalur diod pemancar cahaya (LED).

“Kereta ini berada dalam bengkel selama setahun bagi melakukan proses menaiktaraf bahagian dalaman dan luaran. Walaupun sudah berbelanja lebih RM40,000, saya rasa masih banyak yang perlu dilakukan untuk bertanding dalam kategori ekstrem,” katanya.

Sebagai penggiat autoshow, Murli lebih memberikan penekanan kepada aspek hiasan berbanding bahagian mekanikal. Selepas proses restorasi pada bahagian badan siap bahagian luar dicat warna merah mutiara bagi menyerlah kereta lama ini.

Bahagian dalaman pula, Murli memilih kombinasi warna merah dan hitam yang menjadikan kereta itu kelihatan ‘garang’. Panel pintu dan kusyen tempat duduk dibalut semula manakala papan pemuka dilayangkan cat merah. Murli juga membelanjakan RM4,000 bagi memasang sistem audio yang berkualiti.

“Terbaru, saya menggunakan pintu gunting. Saya buat pengubahsuaian ini kerana mahu bertanding kategori ekstrem pula selepas ini. Saya fikir belum ada lagi kereta oldskool di Malaysia yang buat pintu gunting,” katanya.

Menurut Murli, ramai orang berminat untuk membeli kereta miliknya itu kerana model tersebut yang dalam keadaan baik amat sukar untuk ditemui sekarang.

“Memang ada ramai orang hendak beli kereta ini. Ada yang tawarkan RM30,000 tetapi saya tidak mahu jual kerana sayangkan kereta ini. Saya mahu simpan kereta ini,” ujarnya.