Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Lennart Stegland berkata, model kenderaan itu akan menggantikan model asal XC60 yang telah terjual kira-kira sejuta buah seluruh dunia dan merangkumi 30 peratus penjualan keseluruhan Volvo.

Katanya, XC60 baharu itu bakal merangkumi model T8 Twin Engine Inscription Plus yang diimport sepenuhnya dari Sweden pada harga RM373,888 sebuah manakala untuk model pemasangan tempatan (CKD) ditawarkan dalam dua varian iaitu T8 Twin Engine dan T5 yang mana T8 Twin Engine pula mempunyai dua tahap iaitu Inscription dan Inscription Plus.

“Bahagian luaran kenderaan ini mempunyai rekaan lebih lasak dan berkualiti tinggi manakala rekaan dalaman yang menggabungkan komposisi seni bina komprehensif dan bahan yang menarik.

“Kami mempunyai sejarah ku­kuh dalam mereka bentuk SUV yang dinamik dan bergaya serta menyerlahkan teknologi terbaharu termasuk yang dimiliki oleh XC60 baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Volvo menawarkan lima pilihan warna bagi model XC60 baharu iaitu Ice White, Bright Silver, Osmium Grey, Onyx Black dan Maple Brown dan telah menambah satu lagi warna kulit tambahan iaitu Maroon Brown bagi vari­an pemasangan tempatan.

Mengulas lanjut, Stegland ber­kata, XC60 yang direka menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) mengekalkan gaya yang menarik sama seperti model Volvo lain tetapi mempunyai rekaan dalaman dan luaran yang lebih menyerlah.

Beliau berkata, kenderaan ber­kenaan juga telah dianugerahkan dengan prestasi keseluruhan terbaik apabila memperoleh 98 peratus markah dalam kategori penumpang dewasa dan 95 peratus dalam ujian kelas kenderaan besar jalan lasak menerusi Euro NCAP 2017.