Mendahului senarai model motosikal berkenaan ialah Triumph Bonneville Bobber yang dilihat mampu merancakkan jualan motosikal itu di negara ini di samping model-model lain termasuk Street Scrambler, T100/T100 Black dan Street Triple RS.

Triumph Bonneville Bobber yang merupakan model dengan rekabentuk eksklusif dilihat mampu menarik minat peminat motosikal klasik dan juga moden ekoran ia dilengkapi dengan pelbagai teknologi tunggangan moden.

Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn. Bhd, (Fast Bikes), pengedar tunggal Triumph di Malaysia, Datuk Razak Al-Malique Hussain berkata, Triumph Bonneville Bobber direka bentuk mengikut kehendak pengguna bagi membolehkan pemilik jentera dua roda itu melakukan pengubahsuaian mengikut selera masing-masing.

Kata beliau, untuk itu, Triumph telah menyediakan lebih 150 jenis aksesori untuk Triumph Bonneville Bobber bagi membolehkan pemilik mengubahsuai jentera namun tidak berkompromi dengan spesifikasi utama model berkenaan.

Triumph Bobber baharu rancakkan jualan jentera dua roda British
Bonneville Bobber
 

“Walaupun reka bentuk Triumph Bonneville Bobber berasaskan konsep klasik, namun Triumph tidak melupakan teknologi moden yang disediakan selain keselesaan tunggangan dan juga reka bentuk menarik yang disediakan.

“Malah, Triumph Bonneville Bobber ini merupakan Bobber (motosikal minimalis dengan satu tempat duduk) yang disaratkan dengan pelbagai teknologi moden motosikal masa kini termasuk tetapan tunggangan sama ada jalanan atau hujan, kawalan kuasa tarikan, brek ABS dan cekam dengan bantuan daya kilas.

“Namun apa yang menarik ialah rupanya. Walaupun ringkas, tapi mempunyai reka bentuk yang lebih inovatif serta elegan selain dijanakan dengan kuasa enjin 1,200 cc yang mempunyai daya kilas yang lebih tinggi berbanding model-model T120 yang lain,” katanya kepada Utusan Online di sini baru-baru ini.

Peminat Triumph Bonneville Bobber boleh memiliki jentera hebat berkenaan dengan harga dari RM74,900 hingga RM75,900 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) tanpa insurans dan cukai jalan.

Triumph Bonneville Bobber yang kini sudah berada di semua pusat jualan Fast Bikes di seluruh negara didatangkan dengan warna Ironstone (dengan kemasan kusam), Morello Red, Stunning Competition Green serta Frozen Silver dan Jet Black.

Selain Bonneville Bobber, Razak Al-Malique menambah, Triumph turut mengeluarkan Street Scrambler terbaharu yang diasaskan melalui enjin generasi baharu Triumph Street Twin 900cc sejukan cecair yang mempunyai daya kilas yang tinggi.

Menurut beliau, walaupun kelihatan agak klasik, Street Scrambler yang dipadankan dengan saiz tayar 19 inci di depan dan 17 inci di belakang ini memberi ruang kepada pemiliknya untuk ‘melanyak’ jentera dua roda mereka dalam apa jua keadaan.

Kata beliau, sesuai dengan namanya Scrambler, motosikal ini turut dilengkapi brek ABS dan kawalan kuasa tarikan yang boleh dilaraskan untuk kegunaan lasak dalam apa juga keadaan sama ada di jalanan atau melalui permukaan jalan yang lebih ekstrem.

Street Scrambler yang didatangkan dengan warna Jet Black, Matte Khaki Green serta Korosi Red dan Frozen Silver dijual dengan harga dari RM65,900 hingga RM67,900 termasuk GST tanpa insurans dan cukai jalan.

“Lebih menarik, Street Scrambler juga boleh diubah suai mengikut apa yang disukai pemiliknya dan kami turut menyediakan lebih 150 aksesori untuk dipadankan,” tambah Razak Al-Malique.

Triumph Bobber baharu rancakkan jualan jentera dua roda British
Street Scrambler
 

Bagi peminat motosikal klasik yang tidak mahu berkompromi dengan teknologi motosikal moden, mereka juga boleh memilih untuk memiliki Triumph Bonneville T100 atau T100 Black yang dijanakan dengan enjin berkuasa tinggi 900cc.

Triumph Bonneville T100 dan T100 Black dijual dengan harga RM63,900 hingga RM65,900 termasuk GST.

Bagi mereka yang mahu kepada rekaan lebih futuristik, Triumph turut menyediakan Street Triple RS, motosikal generasi ketiga dalam jaringan Street Triple yang dipadankan dengan enjin terbaharu Triumph 765cc yang diasaskan daripada jentera perlumbaan Triumph Daytona.

Menurut Razak Al-Malique, Street Triple RS mempunyai kuasa lebih 16 peratus berbanidng model-model terdahulu dengan menawarkan kuasa kuda brek 121bhp pada 11,700 putaran perminit (rpm).

Meneruskan penggunaan teknologi tunggangan pintar ‘Ride-By-Wire’, Street Triple RS yang berharga RM66,900 (dengan GST) ini didatangkan dengan lebih 80 bahagian baharu dan penggunaan ‘quickshifter’ bagi memberikan respons yang lebih pantas ketika menukar gear sebagai bahagian standard.

Triumph Bobber baharu rancakkan jualan jentera dua roda British
Street Triple RS
 

“Lebih menarik, Street Triple RS yang dilengkapi dengan tetapan tunggangan jalanan, hujan, perlumbaan, trek dan tunggangan yang boleh diprogramkan ini dilengkapi dengan panel meter informasi berwarna TFT bersaiz 5 inci,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menunggang uji semua model-model baharu ini boleh ke pusat jualan Fast Bikes di Petaling Jaya atau membuat tempahan di semua pusat jualan seluruh Malaysia.

Untuk sebarang keterangan lanjut dan penempahan, orang ramai boleh melayari laman web www.fastbikes.com.my atau menghubungi 03-79609007. - UTUSAN ONLINE

Triumph Bobber baharu rancakkan jualan jentera dua roda British
Panel meter berwarna Street Tripple RS