Tertanya-tanya dalam benak fikiran, mampukah penulis meredah kesesakan lalu lintas dengan skuter yang mempunyai panjang 2,166 milimeter (mm), lebar 753 mm dan tinggi 1,189 mm ini?

Namun, kegusaran itu lama-kelamaan hilang selepas beberapa ketika menunggang jentera sebe­rat 192 kilogram (kg) ini di laluan sibuk di pusat bandar raya menuju pejabat di Jalan Chan Sow Lin.

Ternyata, NSS 300 mampu mencelah dengan lincah ken­deraan-kenderaan di laluan sibuk bersama ‘kapcai’ lain. Tidak rasa terbeban untuk mengawalnya.

Dengan tinggi tempat duduk 716 mm, mereka yang bertubuh rendah pun tiada masalah ketika berhenti di persimpangan atau lampu isyarat merah.

Malah dengan enjin 4-lejang transmisi pembolehubah berte­rusan (CVT) automatik berkapasiti 279 cc, jentera ini pula yang sering paling di hadapan meninggalkan kenderaan-kenderaan lain sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau.

Ditambah gaya tunggangan yang nampak cool dan santai, skuter ini berupaya membawa imej tersendiri kepada si penunggang.

Dengan reka bentuk yang nampak gah dan tidak ‘cikai’, membawanya untuk berjumpa pelanggan atau orang kenamaan (VIP) sekali pun tidak rasa segan.

Selain itu, ciri-ciri yang ada padanya membuatkan jentera ini begitu praktikal untuk membantu melancarkan urusan seharian.

Video oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN 

Ruang simpanan di bawah tempat duduk berkapasiti 62 liter boleh digunakan untuk membawa pelbagai barangan selain mengisi dua topi keledar penuh muka.

Mungkin kot untuk menghadiri majlis rasmi mahupun kosmetik dipesan pelanggan atau apa sahaja yang sebelum ini tidak pernah terfikir, boleh dipraktikkan!

Justeru, NSS 300 boleh dijadikan pengangkutan utama bagi menggantikan kenderaan empat roda.

Di lebuh raya, skuter ini gah meluncur laju dengan senyap dan lancar seperti sebuah kruiser.

Sehubungan itu, untuk perjalanan jarak jauh, NSS 300 cukup selesa dan tidak memenatkan.

Penunggang mampu meluruskan kaki sambil bahagian pinggang disandarkan pada tempat duduk yang lebar.

Kedudukan pembonceng juga selesa, selain tempat duduk dan tempat letak kaki yang lebar, turut disediakan pemegang di kiri dan kanannya.

Dari aspek keselamatan, NSS 300 dilengkapi sistem brek antikekunci (ABS) yang banyak membantu ketika melalui selekoh atau berdepan kecemasan.

Lampu depan halogen berkembar dengan optik pemantul pelbagai memastikan kehadiran jentera ini dari jauh sudah boleh dilihat.

Papan pemuka yang menyeluruh dengan susun atur strategik dan jelas pula membantu penunggang untuk memantau keadaan terkini motosikal seperti kelajuan, bahan api, suhu dan waktu.

Terdapat juga ruang simpanan mini yang mempunyai soket bagi mengecas gajet seperti telefon bimbit.

Bagi yang mahukan sebuah skuter yang nampak mewah selain praktikal, NSS 300 mungkin pilihan sesuai.

Didatangkan dalam tiga warna iaitu biru (candy carribean blue sea), putih (pearl himalayas) dan perak (seal silver metallic), skuter ini ditawarkan pada harga RM30,727.28 sebuah.