Bagi saya walaupun bukan peminat scooter dan ini merupakan motosikal seumpama itu yang pernah saya tunggang, tetapi ia berjaya mengubah persepsi saya mengenai segmen motosikal berkenaan.

Jika hendak dicerita tentang spesifikasinya memang tidak banyak boleh diperkatakan. Motosikal ini dijual pada harga RM4,939.60 dan mempunyai enjin 4-lejang, 1-silinder dan penyejukan udara jet.

Kapasiti enjin 150cc, jarak roda; 1,260mm dan tangki petrol mampu memuatkan 6.6 liter minyak.

Apa yang istimewa motosikal ini telah mengubah tanggapan saya terhadap scooter sebagai sebuah motosikal yang tidak stabil dan tidak berkuasa.

Saya telah mencuba di lebuh raya mahupun mencelah di dalam kesesakan di Kuala Lumpur dan motosikal ini sedikit tidak memberi masalah kepada saya.

Ketika memotong kenderaan berat seperti lori treler dan bas, ia tidak berbuai bila dipukul angin dan itu memberi keyakinan kepada saya untuk menunggang di lebuh raya.

Selain itu ketika mengambil selekoh yang tajam dan panjang juga motosikal ini tidak terasa berbuai dan sangat stabil.

Untuk mendapatkan gambaran lebih lengkap ikuti video ulasan saya mengenai motosikal ini. - UTUSAN ONLINE