Perkara yang sama dialami oleh bapa empat anak ini yang dahulunya hanya bekerja makan gaji kini siapa sangka beliau antara usahawan bumiputera yang berjaya di Malaysia.

Datuk Wan Zaid Wan Abdullah, 71, menceritakan pengalamannya menjalankan tiga jenis perniagaan iaitu agensi pelancongan, perusahaan kenderaan terpakai dan projek perumahan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) memberitahu, sebab utama dia mengambil risiko membuka tiga perniagaan serentak bagi memperoleh aliran wang berterusan untuk jangka panjang dan pendek.

“Pada ketika itu saya langsung tidak mempunyai pekerja, semua urusan hanya saya dan isteri, Datin Samihah Salleh, 68, yang lakukan termasuk mengangkat telefon, mencetak dokumen perjalanan dan membeli tiket kapal terbang.

“Alhamdulillah, segala jerih-perih kami suami isteri itu membuahkan hasil yang boleh dibanggakan. Saya juga bersyukur walaupun saya sibuk dengan perniagaan tetapi anak-anak saya cemerlang dalam bidang akademik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Glenmarie, Shah Alam, Selasa lalu.

Jelas Wan Zaid, kesemua perniagaan yang dimulakan pada 1980 itu kini telah berkembang dalam beberapa bidang lain seperti perladangan kelapa sawit dan perhotelan.

Katanya, perladangan kelapa sawit seluas 2,034 hektar yang diusahakan di Kuala Krai, Kelantan diletakkan di bawah Zaibi Perladangan Sdn. Bhd. dan ia diuruskan oleh anak bongsunya, Wan Sazril Wan Zaid, 32.

Selain itu, Wan Sazril juga turut mengendalikan perniagaan hotel bertaraf empat bintang yang dibangunkan di Wakaf Che Yeh, Kelantan yang dikomersialkan di bawah Holiday Villa Hotel and Suite.

Berdasarkan kedudukan itu, beliau kini boleh menarik nafas lega apabila 80 peratus perniagaannya yang dijalankan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu kini diteruskan oleh anak-anaknya.

Ujar beliau, anak sulungnya, Datuk Wan Sazrudeen Wan Zaid, 46, berkelulusan undang-undang dari sebuah universiti di London kini bertanggungjawab menguruskan perusahaan kenderaan import di bawah Zaibi Motor Sdn. Bhd.

“Saya bangga dengan anak saya ini kerana beliau telah menunjukkan minat dalam dunia perniagaan automotif sejak di luar negara malah turut membantu menjalankan urusan jual beli kenderaan ketika masih belajar.

“Banyak jatuh bangun sebenarnya perniagaan kereta import ini, misalnya pemindahan dari satu lokasi ke lokasi lain bermula di Kota Bharu (Kelantan), Jalan Klang Lama (Kuala Lumpur), Damansara Utama (Selangor), Jalan Maarof di Bangsar seterusnya di sini pula,” katanya.

Tegas Wan Zaid, segala kejayaan yang diperolehnya itu merupakan bukti usahawan bumiputera yang memperoleh Permit Import (AP) bukan menjalankan perniagaan syok sendiri, sebaliknya ia digandakan dan memberi manfaat kepada pihak lain.