UMW Toyota dalam kenyata­an­nya berkata, penyertaan C-HR dalam acara tersebut merupakan penampilan pertamanya di Malaysia sejak pelancarannya pada 2016.

Jelas kenyataan itu, C-HR adalah model kedua yang diba­ngunkan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

“TNGA merupakan program menyeluruh Toyota bagi mentransformasikan struktur rekaan kenderaan dan ia selari dengan matlamat syarikat untuk membina kereta terbaik.

“Rekaan C-HR menampilkan tema seni bina berlian dengan struktur kabin termodulat yang memberikan rasa teruja ketika pemanduan,” katanya di sini hari ini.

Tambah UMW Toyota, pihak­nya turut menawarkan pelbagai aktiviti kepada pengunjung seperti pandu uji, kemampuan model 4x4 serta pameran Toyota Hilux TRD Sportivo 2.4G pada acara yang berlangsung selama dua hari itu.

Katanya, pengunjung yang menempah kenderaan pada acara tersebut menerima baucar e-servis yang bernilai RM200 dan boleh digunakan apabila mereka menghantar kenderaan ke pusat servis Toyota yang sah.

“Kami juga menawarkan rebat menarik sehingga RM5,000, aksesori percuma dan servis percuma selama tiga tahun bagi model terpilih Toyota yang terdapat di Malaysia.

“Selain itu, semua kenderaan Toyota baharu kecuali Hilux dan Hiace didatangkan dengan lima tahun jaminan bagi pendaftaran kali pertama serta tanpa had perjalanan. Waranti berkenaan boleh dipindahkan ke pemilik baharu selagi tempoh lima tahun belum berakhir,” katanya.

Orang ramai boleh melayari www.toyota.com.my bagi mendapatkan maklumat model-model baharu serta pusat pameran Toyo­ta di seluruh negara.