Jadi, apakah yang menariknya tentang Myvi baharu ini? Ada beberapa elemen baharu untuk model ini, tetapi yang paling utama ialah teknologinya.

Sebelum bercerita mengenai teknologinya, mari kita lihat reka bentuknya.

Lampu utama LED lebih besar dari sisi dan menirus ke tengah dengan diapit jalur berwarna pe­rak. Bampar depan dihiasi lampu kabus dengan hiasan jalur perak. Corong udara juga lebih besar. Garisan badannya agak menawan dengan kecondongan yang aerodinamik. Lampu belakang juga lebih cantik dan sporty.

Dengan kata lain, fizikalnya amat bagus dan menepati cita rasa rakyat Malaysia. Myvi baharu ini juga dipanjangkan iaitu 205 milimeter (mm), lebih rendah 30 mm dan 70 mm lebar serta jarak roda 60 mm panjang berbanding model terdahulu.

Ini menghasilkan ruang yang cukup selesa untuk pemandu dan penumpang. Ruang dalamannya juga menarik dengan papan pemuka yang kelihatan mewah. Cuma skrin multimedia agak kelihatan konservatif dengan warna hitam seperti pada model-model terdahulu.

Kerusi kulit untuk model Advance ini juga selesa tetapi agak pendek yang tidak dapat mengampu kaki sepenuhnya. Tetapi ia bukanlah satu isu yang besar sebenarnya.

Medan ujian untuk Myvi Advance ini meliputi lebuh raya dan jalan persekutuan termasuk jalan raya tidak rata yang banyak terdapat di Chan Sow Lin dan juga di Keramat. Lupa pula untuk memberitahu semua Myvi baharu menggunakan butang untuk menghidupkan dan mematikan enjin. Satu lagi ciri mewah pada model buatan Malaysia ini.

Semasa memandu model 1.5L Advance ini terasa betapa se­nyapnya ruang kabin. Perodua telah menaik taraf kadar kese­nyapan dalam kabin atau NVH kepada paras yang lebih selesa. Penggunaan tayar 185/55 Rim aloi 15 inci banyak membantu mengurangkan gegaran lekukan di jalan raya sekitar ibu kota.

Kuasa maksimum 76kW @ 6000rpm pada enjin jenis 2NR-VE, 4 silinder ­DOHC with Dual VVT-i banyak membantu menggerakkan jentera ini. Penulis sempat memecut sehingga 180 kilometer/sejam (km/j) berbanding 170 km/j untuk model Myvi yang terdahulu.

Ya, kuasanya boleh diharapkan tetapi terasa olengan yang ketara pada kelajuan tinggi dan juga ketika mengambil selekoh. Pada kelajuan 150 km/j sudah terasa bunyi angin yang kuat masuk di dalam kabin.

Jentera ini dilengkapi dengan Bantuan Keselamatan Termaju (Advanced Safety Assist -ASA). ASA merangkumi ciri-ciri Amaran Sebelum Pelanggaran (Pre-Collision Warning) dan Membrek Sebelum Berlanggar (Pre-Collision Braking).

Kedua-dua sistem itu berfungsi dalam kelajuan yang rendah iaitu 30 km/j ke bawah. Terdapat kamera pada cermin utama yang bertindak sebagai sensor menganalisa kenderaan di hadapan. Penulis cuba mengujinya dan ternyata sebelum berlanggar, akan adanya bunyi amaran dan jentera itu membrek secara automatik. Agak mengejutkan tetapi ia berkesan.

Cuma penulis tidak sempat menguji Front Departure Alert (FDA) kerana tidak mahu ken­deraan di belakang menyembunyikan hon.

Dalam kata lain, teknologi pada model Myvi 1.5 liter Advance ini amat hebat seperti model kereta mewah yang lain tetapi pada harga yang murah. Inilah yang menjadikan jentera ini tarikan kepada rakyat Malaysia. Cuma penulis ingin tahu siapakah yang mencetuskan idea smart tag binaan dalam. Ia ba­nyak membantu pemanduan di laluan bertol sekitar ibu kota.