Justeru, tidak hairanlah kereta dianggap sebagai liabiliti dan bukannya aset kerana ia tidak mendatangkan pulangan wang atau keuntungan, sebaliknya perlu berbelanja untuknya.

Bagi menjamin jangka hayat kenderaan, pemeriksaan dan penyelenggaraan merupakan aspek paling penting dilakukan secara berkala.

Bagaimanapun, masalah dihadapi segelintir pemandu, apabila perkhidmatan pusat servis atau bengkel yang diharapkan dapat memperbaiki atau meningkatkan prestasi kenderaan namun, sebaliknya berlaku.

Antara masalah yang dikenal pasti termasuklah mutu baik pulih rendah, alat ganti tidak berkualiti, penyelenggaraan melebihi apa diminta, caj mahal dan lambat.

Lebih teruk lagi apabila ada kereta yang baru sahaja dibeli tidak sampai setahun sudah kerap mengalami masalah.

Berikut jenis aduan yang dilaporkan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) berhubung isu membabitkan kualiti piawaian penyelenggaraan kereta yang tidak memuaskan.

SITUASI 1

Mutu baik pulih rendah

Seorang pemandu telah menghantar keretanya (dibeli tiga tahun sebelumnya) untuk diselenggara di sebuah pusat servis.

Seminggu selepas itu, dia memandu ke Cyberjaya bagi menghadiri mesyuarat. Ketika dalam perjalanan, keretanya tiba-tiba sahaja berhenti.

Bukan kali pertama, malah pernah berlaku beberapa kali.

Namun kali ini enjin tidak dapat dihidupkan. Selepas menghubungi pusat servis terbabit, keretanya dibawa ke sana untuk diperiksa sekali lagi.

Tiga hari kemudian, dia dimaklumkan kos untuk membaiki kereta itu menelan belanja sebanyak RM33,000 disebabkan enjin dan sistem kereta telah rosak sepenuhnya. Beliau kini terpaksa membayar ansuran kepada bengkel terbabit dan apabila selesai bayaran, barulah kereta itu boleh dibawa pulang.

Bagaimanapun dia masih berang dengan apa yang berlaku kerana kereta baru sahaja diselenggara, tidak sampai dua minggu mengalami kerosakan. Lebih-lebih lagi, sebelum itu dia juga telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM1,800 untuk kos penyelenggaraan termasuk menukar timing belt.

Pengguna terbabit cuba membuat tuntutan insurans kerana masalah kerosakan berpunca daripada kecuaian pusat servis, namun tidak berjaya kerana tempoh waranti telah tamat.

Apa yang berlaku mendorong pemandu berkenaan melaporkan kes itu kepada Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Namun, masalah itu tidak juga dapat diselesaikan.

Situasi 3

Alat ganti tidak berkualiti

Mekanik di sebuah bengkel telah menukar enjin kereta milik seorang pemandu. Namun selepas seminggu, keretanya mengalami masalah tidak boleh bergerak dan mengeluarkan bau hangit di bahagian enjin.

Setelah diperiksa, mekanik di bengkel itu mengatakan masalah bukan disebabkan enjin tetapi compressor dan untuk membaikinya memerlukan kos sebanyak RM500. Oleh kerana tidak berpuas hati, pemandu itu menghantar kereta ke bengkel lain.

Pemeriksaan mekanik di bengkel lain mendapati kerosakan sebenarnya berpunca daripada enjin.

SITUASI 4

Kereta baharu macam kereta lama

Tidak sampai sebulan membeli sebuah kereta import, seorang pemandu terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah kerosakan dan kualiti kenderaan tidak memuaskan.

Ketika menghantarnya ke pusat servis, pelbagai masalah dikesan termasuklah absorber berbunyi dan tidak stabil, alignment tidak betul, bahagian bawah pintu dan atap berkarat selain masalah bumper, pengelap cermin serta cermin sisi.

Disebabkan masalah tersebut, tindakan yang boleh diambil hanyalah melakukan proses baik pulih yang sudah tentu mengambil masa.

Pemandu mengadu kepada syarikat pengeluar kenderaan itu memandangkan kereta baharu tidak sepatutnya mempunyai banyak masalah namun, dia tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak tersebut.

SITUASI 2

Bermasalah selepas tamat waranti

Pemandu membeli kereta import pada 2013 dan menghantar ke pusat servis untuk pemeriksaan dan penyelenggaraan secara berkala.

Ketika masih dalam tempoh waranti, pemandu telah memaklumkan juruteknik tentang masalah bunyi bising dari bawah kenderaan.

Juruteknik yang memeriksanya kemudian memberitahu bunyi bising disebabkan masalah tali pinggang keselamatan, tempat duduk belakang dan sebagainya.

Selepas diselenggara, masalah tersebut tidak dapat diselesaikan dan berlaku berulang kali.

Sehinggalah tempoh waranti tiga tahun berakhir, barulah juruteknik mengesan punca sebenar masalah disebabkan sistem suspension kereta.

Pemandu melahirkan rasa tidak puas hati di atas kecuaian pusat servis tersebut kerana hanya berjaya mengesan punca sebenar selepas tamat tempoh waranti.

Selain itu, kebanyakan aduan yang diketengahkannya juga tidak direkodkan.