Tidak kiralah sama ada baharu hendak berjinak-jinak dengan superbike ataupun mereka yang mahu meningkatkan kuasa jentera (upgrade) sedia ada, masalahnya sama iaitu sukar membuat pilihan.

Ada yang sekadar mahu pergi balik kerja atau berkonvoi pada hujung minggu atau kedua-dua­nya sekali.

Mereka teragak-agak dan perlu berhati-hati dalam membuat keputusan bagi memilih model yang sesuai disebabkan harga sesebuah motosikal jenis ini adalah mahal.

Diberi kesempatan menunggang uji jentera terbaharu Kawasaki, iaitu Z900 mungkin sedikit sebanyak dapat merungkai permasalahan tersebut.

Sebagai ‘newbie’ atau penunggang baharu untuk motosikal berkuasa tinggi, penulis sendiri pada mulanya agak berdebar untuk menguji jentera berenjin sejuk cecair 948cc ini.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja menunggang keluar dari Ibu pejabat Kawasaki Motors (M) Sdn. Bhd. di Shah Alam, Sela­ngor, kebimbangan tersebut terus lenyap sebaliknya diganti dengan keterujaan.

Dengan berat keseluruhan 210 kilogram (kg) manakala 213 kg. bagi edisi khas, menyusuri laluan-laluan sibuk di pusat bandar ternyata bukan membebankan ditambah enjin empat lejang empat piston sebaris menjadikan Z900 lincah seperti kapcai ketika 'mencelah'.

Ternyata Kawasaki telah mengatasi masalah pada Z800 sebelum ini yang dikatakan agak berat.

Berhenti di lampu isyarat atau simpang jalan pun bukan masalah kepada penulis yang se­tinggi 169 sentimeter kerana dengan ketinggian tempat duduk 795 milimeter, kaki tidak perlu terlalu berjing­kit untuk menopang motosikal.

Justeru, bagi yang mahu menggunakannya untuk ke pejabat setiap hari, usah risau kerana Z900 tidak 'menyeksakan'.

Ditambah pula dengan reka bentuk agresif, pasti membuatkan si penunggang nampak lebih bergaya.

Ketangkasan Z900 juga dapat dirasai ketika melalui jalan lama Ulu Yam-Goh Tong Jaya.

Memotong deretan kenderaan di laluan kecil dan berliku yang memerlukan kepantasan, supernaked ini tidak mengecewakan.

Begitu juga keyakinan pada jentera yang dilengkapi sistem brek antikekunci (ABS) ini semasa mengambil selekoh-selekoh pendek serta tajam. Sesekali but mencecah jalan ketika 'meleper' menjadikan tunggangan tambah menyeronokkan.

Memasuki Lebuh Raya Karak selepas itu memastikan Z900 layak digelar satria jalanan. Daya pecutan, kuasa enjin serta kestabilan, dapat dinikmati ketika ditunggang laju. Kalau tidak menjeling ke arah skrin meter laju, mungkin tidak sedar sudah hampir mencecah 180 km/j sedangkan pendikit masih banyak lagi boleh dipulas!

Sepanjang tempoh bersama motosikal ini, ternyata setiap detik tunggangan memberi kepuasan dan keseronokan kepada penulis.

Bagi yang mahu mengetahui ciri-ciri teknikal dan spesifikasi Z900, boleh layari www.kawasaki.com.my.

Didatangkan dalam dua warna iaitu kelabu dan biru (edisi khas), Z900 mampu menjadi pilihan tepat sama ada untuk kegunaan harian atau mahu meng­uji adrenalin pada hujung minggu!