Namanya pun scrambler, redah sajalah.

Tidak perlu ‘protokol’, asalkan tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Dengan rim depan bersaiz 18 inci dan belakang 17 inci serta dipasang tayar Pirelli MT 60 RS berbunga tebal dan lebar, Sixty2 boleh ditunggang dalam pelbagai bentuk permukaan.

Kelebihan itulah yang mencetuskan keseronokan semula jadi ketika menunggang jentera buatan Itali ini.

Benar-benar rasa bebas, seperti tiada sebarang halangan boleh membataskan apa juga yang mahu dilakukan bersama jentera ini.

Berkapasiti 399 cc, Sixty2 mungkin tidak memiliki terjahan luar biasa seperti superbike lain, namun kuasa enjin silinder L-Twin yang agak rendah inilah yang membuatkan penulis lebih yakin dan berani untuk berdepan semua situasi.

Dengan tinggi tempat duduk 790 milimeter (mm) dan berat 183 kilogram (kg) termasuk bahan api, tidak sukar buat penunggang berfizikal rendah, juga wanita untuk ‘menjinakkannya’.

Justeru, bagi ‘newbie’ atau penunggang baharu yang mahu menjadikan Sixty2 sebagai motosikal berkuasa tinggi pertama miliknya, keputusan tersebut adalah tepat.

Tidak sukar untuk mengendalikannya disebabkan ia ringan dan tidak terlalu sofistikated. Ringkas sahaja, sekali gus membolehkan penunggang menumpukan sepenuh perhatian kepada sekelilingnya.

Ketika diuji dalam bandar yang sibuk pun, Sixty2 cukup cemerlang.

Dipasang handlebar yang le­bar dan tinggi, tiada masalah untuk mencelah deretan kenderaan dalam kesesakan lalu lintas ke­rana tidak mungkin ‘tersangkut’ pada cermin sisi kereta.

Sehubungan itu, jentera ini amat sesuai dijadikan sebagai pengangkutan harian sama ada untuk ke tempat kerja atau kuliah bagi golongan pelajar.

Penulis juga sempat menguji Sixty2 di Bukit Fraser, Raub, Pahang bagi melihat sendiri ke­upayaannya menempuh cabaran laluan luar bandar.

Ternyata mendaki dan menuruni laluan berselekoh tajam cukup mudah buat jentera ini.

Posisi tunggangan yang santai, ditambah sistem brek antikekunci (ABS), ‘melayan’ setiap liku di bukit peranginan itu cukup me­ngujakan.

Sixty2 meluncur laju dan penuh yakin di setiap selekoh tajam, tiada sedikit pun rasa risau, seolah-olah jentera ini sudah sebati dengan segala cabaran dan kehijauan yang ada di situ.

Agaknya kalau inilah laluan setiap hari dengan Sixty2, mungkin penulis terpaksa menukar but baharu tiap-tiap bulan ke­rana bahagian hujung tapaknya cepat haus disagat jalan.

Dari segi penampilan pula. Sixty2 tidak mudah terlepas pandang dengan gaya retro dimilikinya.

Dengan pilihan tiga warna mempesona, iaitu atomic tangerine, ocean grey dan shining black, pasti ramai yang menjeling.

Tidak kiralah sama ada di lampu isyarat atau tempat letak kenderaan, kehadiran jentera ini nampak berbeza berbanding motosikal-motosikal lain.

Dinamakan Sixty2 sempena model scrambler pertama Ducati pada 1962, model klasik ini dike­luarkan semula pada 2014 de­ngan kapasiti 803 cc dan mendapat permintaan cukup tinggi.

Walau bagaimanapun, seper­ti juga produk premium yang lain, jentera ini dikatakan lebih mendapat tempat dalam kala­ngan mereka yang berumur 30-an dan mempunyai kerjaya yang stabil.

Justeru, bagi menarik golong­an muda, maka Ducati menghasilkan Sixty2.

Bagi penulis, tiada masalah besar tentang Sixty2 sepanjang tempoh menunggang ujinya.

Kalau ada kelemahan sekalipun, mungkin bahang daripada enjin yang dirasai terutama ketika berhenti disebabkan jentera ini menggunakan penyejuk udara.

Namun, penulis me­ng­anggap itu perkara biasa buat mana-mana penunggang mo­tosikal. Bukan rider kental kalau tidak tahan panas!

Pada harga RM49,999, Sixty2 bukan sahaja menawarkan jentera gaya retro yang menyeronokkan ketika ditunggang malah membangkitkan aura orang mu­da.