Menurut Lexus Malaysia, LS 2018 generasi kelima berkenaan akan diimport sepenuhnya dari Jepun serta ditawarkan dalam tiga varian berbeza iaitu LS Luxury, LS Executive dan LS Exe­cutive Hybrid.

“Terdapat banyak percakapan dan jangkaan daripada peminat sedan mewah baharu ini di Malaysia terutama dalam kalangan eksekutif tertinggi yang juga pelanggan dan pasaran utama buat Lexus LS 2018.

“Meskipun dijadual tiba di Malaysia pada suku pertama 2018, pelanggan yang ingin menjadi antara yang pertama memilikinya boleh mula membuat tempahan di semua pusat sah Lexus,” jelasnya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Lexus LS 2018 dilengkapi de­ngan enjin V6 3.5 liter turbo berkembar yang mampu menghamburkan kuasa maksimum 415 hp serta kuasa kilas 572 Nm menerusi sistem transmisi automatik 10 kelajuan.

Model itu direka dengan ketelitian yang tinggi dan hadir dengan bayangan keseluruhan seperti sebuah sedan coupe empat pintu, namun tetap menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa serta mewah.

Direka di kilang Tahara, Jepun, LS 2018 telah menjadi tumpuan di negara itu dengan pratempahan mencapai 9,500 buah atau hampir 1,600 peratus lebih tinggi daripada sasaran jualan 600 buah sebulan.

Di Malaysia, LS 2018 hadir bersama jaminan komprehensif selama lima tahun, perbatuan tanpa had serta sokongan selepas jualan di tujuh lokasi berbeza lengkap de­ngan juruteknik profesional Lexus.