Malah, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menyaksikan pertandingan drift anjuran Yayasan Perdana Ummah dan Salute Malaysia dengan kerjasama Loyai72 Event Management dan HK7 APD.

Najib turut melancarkan nombor pendaftaran kenderaan khas T1M atau Transformasi Malaysia. Beliau kemudian menerima nombor pendaftaran T1M 11 sebagai penghargaan kepada sumbangannya sebagai “Bapa Transformasi Malaysia”.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Perdana Ummah yang juga Presiden Salute Malaysia, Datuk Rizal Mansor.

Pertandingan drift itu adalah yang terbesar pernah berlangsung di Pekan dan kawasan sekitarnya. Maka tidak hairanlah ia berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung untuk menyaksikan aksi pelumba-pelumba drift hebat tempatan.

Menurut penganjur program, Hanizam Hamzah atau lebih dikenali sebagai Loyai, lebih 30 pelumba mengambil bahagian dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu expert dan novis.

Katanya, pertandingan itu diadili oleh dua legenda drift negara iaitu Tengku Djan Ley dan Terrence Lim.

“Setiap jentera akan melalui sesi kelayakan sebelum mereka mara ke peringkat kalah mati atau Tandem Battle. Pada peringkat itu, dua buah jentera dilepaskan secara serentak,” katanya.

Dalam pertandingan tersebut, Farhan Baharom dari VCS Motorsport yang memandu jentera Toyota AE86 dan Mohd. Nashriq Awaluddin atau lebih dikenali sebagai Nash Tow dari Suzuka Drift Team menjadi pelumba tumpuan kerana mengumpul markah tertinggi di peringkat saringan.

Namun, Farhan terpaksa berhenti di Top 8 kerana mengalami masalah jentera.

Bagi kategori expert, Anuar Ngah dari Ar Drift Team dinobatkan sebagai juara, manakala Chee Wee Tan dari Sinwufu Budi Drift Racing Team (kedua), Rosmi Fadzli yang dikenali sebagai Mael Shawn Lambung (ketiga) dan Tan Han Kiong (keempat).

Bagi kategori novice pula, Zarzi Omar dari GG Auto Tech muncul juara diikuti Mohd. Naszri Samingin dari JD Team (kedua), Mohd. Firdaus Zali dari Sinwufu Budi Drift Racing Team (ketiga) dan Michael Chong dari Suzuka Borneo (keempat).

Anugerah khas Top Qualify diberikan kepada Mohd. Nashriq kerana mengumpul markah tertinggi semasa sesi kelayakan.

Juara kategori expert membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, kedua (RM1,000) dan ketiga (RM500) manakala juara kategori novis menerima RM1,000, naib juara (RM800) dan ketiga (RM500) serta piala.