Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, Saga generasi ketiga yang dilancarkan pada 28 September 2016 kekal sebagai kereta rakyat dengan menjadi kereta sedan paling mampu dimiliki di negara ini.

Katanya, Saga itu te­lah menerima pelbagai penambahbaikan, peningkatan dan ketelitian dalam penghasilannya sejak diperkenalkan pada tahun 1985.

“Pelanggan boleh merasai ruang kabin yang lebih senyap hasil pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) yang dilakukan, reka bentuk lebih bergaya, praktikal, peningkatan ciri keselamatan dan lebih selesa.

“Antara pencapaian yang diperoleh Proton Saga baharu sejak dilancarkan pada tahun lalu adalah The Rising Star oleh ASEAN NCAP Grand Prix Awards 2016 dan Value for Money Car oleh MAI Malaysia Car of the Year 2016. Anugerah ini mencerminkan usaha berterusan Proton dalam memberikan lebih nilai kepada pe­langgan kami,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Saga Varian 1.3 liter Premium dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan canggih seperti ESC, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, kawalan cerun, beg udara, ISOFIX dan top-tether, dengan sensor di depan dan belakang pada harga RM45,800 dan varian standard dijual pada harga RM36,800.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fuaad memberitahu, sepanjang bulan Mei ini Proton menjalankan Kempen 5 Nilai Hebat dengan menawarkan lima tahun servis percuma, jaminan lima tahun atau RM150,000 kilometer (yang mana terdahulu).

Kata­nya, pemilik kereta Pro­ton juga menikmati bonus kesetiaan tambahan sebanyak RM1,000 kepada promosi sedia ada untuk pembelian kereta baharu Proton dan tertakluk kepada ahli-ahli keluarga terdekat pemilik Proton yang berdaftar.

“Kami turut memberikan bonus istimewa bernilai RM500 kepada guru dan jururawat serta kerusi kanak-kanak bernilai RM1,000 yang boleh dibeli pada harga promosi RM299 dengan mana-mana pembelian kereta Proton.

“Bagi mengetahui promosi perayaan pada bulan Mei dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi khidmat pelanggan Proton di talian 1800-888-398 atau e-mel ke [email protected],” ujar­nya.