Namun, agak mengecewakan apabila kereta baharu menunjukkan prestasi seperti kenderaan lama yang kerap mengalami kerosakan. Itu dialami segelintir pengguna. Tidak kira melibatkan kenderaan jenama tempatan mahupun luar negara.

Meskipun tidak ada undang-undang khusus yang melindungi pengguna dalam sektor tersebut, namun pengguna boleh membuat tuntutan ganti rugi di bawah cabang undang-undang kontrak, undang-undang tort (kecuaian) dan Bahagian VIII Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) bagaimanapun mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan undang-undang Lemon (Lemon Law) sebagaimana diguna pakai di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura.

Menurut Pengurus Perundangan dan Dasarnya, Mandeep Singh, undang-undang tersebut membolehkan pengguna mendapatkan gantian bagi kenderaan yang baharu dibeli sekiranya kerap mengalami masalah.

“Undang-undang ini bertujuan melindungi pengguna sekiranya produk yang dibeli berada dalam keadaan tidak sempurna atau mengalami kecacatan.

“Seperti dalam isu kenderaan, sekiranya kereta yang dibeli tidak boleh dibaiki dalam tempoh jaminan atau jika selepas melalui banyak proses pembaikan, ia masih juga mengalami masalah kerosakan, maka pengguna berhak mendapatkan gantian kereta baharu. Begitu juga dengan produk lain,” katanya.

Dalam pada itu menurutnya, berdasarkan laporan tahunan NCCC pada 2015, masalah berkaitan sektor kenderaan dan bengkel mencatatkan aduan nilai kerugian paling tinggi berbanding dengan isu kepenggunaan lain.

“Sebanyak 3,816 aduan diterima membabitkan nilai kerugian yang dianggarkan lebih RM81 juta dicatatkan,” katanya.