Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran berkata, kemalangan yang berlaku pada tahun lalu meng­akibatkan 7,152 orang kehilangan nyawa dengan purata 19 kematian setiap hari.

Menurut beliau, pengeluar kenderaan seperti Toyota memperuntukkan sejumlah pelaburan yang besar bagi membangunkan sebuah kenderaan yang selamat dengan pelbagai ciri keselamatan.

“Antara teknologi yang diba­ngunkan ialah Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Edaran Brek Secara Elektronik (EBD), Kawalan Tarikan (TCS) dan kerangka kende­raan yang melalui Toyota Global Outstanding Assessment (GOA) berupaya memberikan bantuan keselamatan tambahan semasa di jalan raya.

“Bagaimanapun, kesemua tek­nologi ini memerlukan integrasi dengan gaya pemanduan bagi menjadikannya berkesan. Oleh itu, program jelajah seperti ini dapat memberi bimbingan dan menyemai sikap toleransi terutama golongan muda ketika memandu,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambah K. Ravindran, beberapa orang selebriti yang menyertai Toyota Gazoo Racing (TGR) seper­ti Diana Danielle dan Danny Koo telah melawat Kolej Universiti KDU Penang, Pulau Pinang dan memberikan ceramah berkaitan kese­lamatan memandu.

Katanya, antara yang ditekankan dalam ceramah tersebut ialah penggunaan tali pinggang keledar dan larangan menggunakan sebarang peralatan mudah alih seperti telefon bimbit.

“Pelajar KDU turut mengambil bahagian dalam TGR melalui persembahan pentas dan orang ramai berpeluang untuk bertemu dengan tetamu istimewa daripada Media Prima ‘Bas Drama Sa­ngat’.

“Tiada yuran masuk dikenakan dan orang ramai dijemput hadir dengan membawa bersama ahli keluarga masing-masing,” ujarnya.

TGR akan diadakan pada 12 dan 13 Ogos depan di Batu Kawan, Pulau Pinang.