Tidak ramai yang terbayang untuk memilih kereta segmen tersebut dari negara Korea Selatan. Ini mungkin disebabkan faktor sejarah iaitu sejak zaman kanak-kanak lagi kereta keluarga biasanya dari negara Jepun terutamanya.

Tetapi, mungkin kali ini pengguna perlu mempertimbangkan kereta buatan Korea Selatan iaitu jenama Kia. Misalnya Kia Rio Sedan yang merupakan sebuah kereta yang sederhana tetapi mempunyai sentuhan Eropah.

Rio Sedan telah diperkenalkan di pasaran Malaysia pada tahun lalu. Umum lebih mengenali Rio hatchback yang mendapat tempat dalam kalangan pembeli di Eropah. Tetapi kali ini model yang sama dipanjangkan menjadi Rio Sedan.

Kemasan dalamannya sama seperti Rio hatchback, tetapi beberapa ciri seperti bumbung pa­naromik dan butang penghidup enjin telah ditiadakan. Tetapi itu bukanlah satu kekurangan untuk Rio Sedan kerana model ini dilengkapi dengan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) yang sangat berguna.

Bagaimanapun, penulis tidak berani untuk mencuba sistem tersebut kerana tidak mahu mengambil risiko.

Rio Sedan ini juga dipasang dengan lampu nyalaan siang (DRL) pada bahagian bampar. Tetapi silauan lampu itu penulis rasakan seperti lampu kabus yang tidak secerah lampu DRL yang biasa. Di atas lampu DRL, terdapat garisan krom untuk menimbulkan imej mantap.

Bercakap mengenai ruang dalamannya, ia masih mengekalkan ruang yang luas. Papan pemukanya sama se­perti Rio hatchback de­ngan butang kawalan kesemuanya dalam jangkauan pemandu. Tidak terlalu kompleks dan tidak juga terlalu ringkas. Masih mengekalkan gaya tersendiri.

Sistem audio pula memboleh­kan penyimpanan lagu dengan memori 800 Megabit (MB) bersama MP3, USB dan AUX. Bunyi muzik dialunkan melalui enam speaker termasuk tweeter. Bagi keseronokan pemanduan, butang kawalan audio untuk pemilihan lagu dan laras bunyi terdapat pada stereng.

Mengujinya pula satu ke­seronokan. Rio Sedan digerakkan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa maksimum 109PS dan kilas 137Nm. Menggunakan pacuan hadapan menerusi kotak gear automatik empat kelajuan.

Ia bukanlah sebuah model yang pantas, tetapi cukup selesa untuk pemanduan yang jauh. Pada kelajuan 140 kilometer sejam (km/j), ia masih selesa dan stabil tanpa bunyi dan gegaran yang bising. Tayar 185/65 dengan rim 15 inci menjadikan kende­raan ini mampu mengambil selekoh dengan tenang pada kelajuan sederhana di antara 90 hingga 100 kmj.

Tindak balas sterengnya pula agak baik kerana ia adalah jenis stereng condong dan teleskopik dengan stereng berkuasa pemanduan motor (MDPS). Ia mengurangkan tekanan kepada enjin dan menjimatkan penggunaan minyak.

Seperti juga model-model jenama yang sama, Kia amat mementingkan keselamatan untuk model ini. Rio Sedan dilengkapi dengan enam beg udara dengan brek cakera depan dan bekalang sebagai standard. Ciri-ciri sistem keselamatan aktif seperti ABS, ESC, VSM, HAC dan ESS.

Secara mudahnya, ia merupakan model terbaik untuk segmen B. Dengan ciri-ciri tersebut, Rio Sedan boleh menjadi alternatif jika mahukan kelainan daripada model jenama Jepun dan Eropah.