Bagi mereka yang inginkan kelajuan, modifikasi yang dilakukan sudah tentu akan menyentuh bahagian enjin dan komponen-komponen yang berkaitan seperti sistem brek, ekzos, pemasangan cip dan pengurangan berat kenderaan.

Namun, ada pemilik kenderaan yang sekadar inginkan kelainan pada kereta standard kilang mereka dengan menukar bodykit (kit badan) dan memasang stiker untuk tampil bergaya.

Pandangan sama dirasakan oleh seorang pekerja Pos Malaysia, Syed Adam Khan Syed Ali Khan yang melakukan pengubahsuaian ringkas terhadap kereta Proton Preve Executive CTV yang dibeli pada 2014. Walaupun modifikasi ringkas, namun kereta Preve miliknya tetap kelihatan bergaya dan kemas.

Sama seperti kebanya–kan peminat sukan permotoran yang lain, Syed Adam Khan, 31, juga pernah melalui ‘zaman gila kereta’ dalam satu fasa hidupnya.

Dia pernah memiliki kereta Proton Wira Aeroback SE yang bernadikan enjin Mitsubishi Evolution 3, tapi apabila sudah berkeluarga, aspek keselamatan dan keselesaan lebih menjadi keutamaannya.

Proton Preve menjadi pilihannya kerana kereta nasional itu mempunyai ciri-ciri keselamatan yang mendapat pengiktirafan lima bintang daripada agensi penarafan keselamatan automotif antarabangsa, Program Penilaian Kereta Baharu Australia (ANCAP), di samping reka bentuk yang menarik dan sporty.

“Walaupun sayang hendak menjual kereta Wira Aeroback SE itu, tetapi selepas berbincang dengan isteri, kami membuat keputusan untuk membeli Proton Preve,” katanya kepada MotorMania.

Sebagai peminat modifikasi kereta, Syed Adam Khan cuma mampu menahan keinginannya untuk mengubahsuai jenteranya selama tiga bulan.

Pada bulan keempat, anak jati Petaling Jaya, Selangor itu pun mula membuat perubahan pada aspek aksesori kereta tersebut bermula dengan rim sukan R3 saiz 16 inci dan bodykit R3 keluaran Proton R3 Motorsports.

Penyerap hentakan asal ditukar pula ditukar dengan penyerap hentakan boleh laras jenama GAB. Syed Adam Khan juga menggantikan ekzos asal dan memasang spoiler ducktail bagi menampakkan imej sporty.

Bagi menampakkan kereta itu unik dan ranggi, Syed Adam Khan memasang stiker kereta lumba Petronas Syntium Team dengan sedikit perubahan pada rekaan asal. Ini merupakan aspek paling menyerlah pada kereta Preve milik Syed Adam Khan.

“Saya meminati rekaan stiker kereta lumba Petronas Racing Team kerana ia salah satu produk kebanggaan Malaysia dan ini merupakan sebahagian sumbangan saya bagi mempromosikan Petronas,” ujarnya.

Bahagian dalaman kereta Preve itu masih mengekalkan ciri-ciri asal termasuk sistem audio. Syed Adam Khan hanya mengenakan stiker 5D pada papan pemuka bagi menyerlahkan kekemasan dalaman kereta.

Menurut Syed Adam, sebagai anak Malaysia, dia berbangga dengan kereta-kereta keluaran Proton yang kini setanding dengan kereta-kereta import seperti Nissan, Honda dan Nissan.

“Disebabkan ada segelintir penulis Barat mengatakan kereta Proton tidak bagus, maka ramai orang Malaysia yang tidak tahu hujung pangkal ikut bersetuju. Memang pelik tapi begitulah sikap sebahagian rakyat negara kita.

“Proton Preve kini semakin diminati ramai sama ada golongan muda atau yang sudah berusia. Walaupun Preve adalah buatan Malaysia tetapi ia setanding dengan jenama-jenama terkemuka lain,” kata bapa kepada dua orang anak itu.