Ketua Pegawai Ekesekutif TCEC, Kuan Kim Luen berkata, varian Koleos tersebut menampilkan teknologi All-Mode 4X4-i yang memantau tahap cengkaman roda secara berterusan untuk prestasi lebih dinamik, stabil dan selamat.

Katanya, ciri baharu lain adalah pintu belakang bebas tangan iaitu but belakang boleh dibuka dengan hanya menggerakkan kaki pada bahagian bawah bampar belakang dengan Renault Smart Keycard berada di dalam poket atau bag ta­ngan.

Jelas beliau, varian itu turut didatangkan dengan warna baharu, Maroon Red sebagai tambahan kepada warna sedia ada iaitu Universal White, Grey Metallic, Black Metallic dan Meissen Blue.

“Koleos mendapat sambutan memberangsangkan sejak varian 2WD dilancarkan tahun lalu dan dengan penambahbaikan ini, versi 4WD akan menarik minat lebih ramai pembeli SUV di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Teknologi All-Mode 4X4-i terdiri daripada suis kawalan yang membolehkan pemandu memilih tiga mod berbeza iaitu 2WD, 4WD Auto dan 4WD Lock masing-masing dengan kelebihan tersendiri berdasarkan kepada kondisi pemanduan.

Seperti Koleos 2WD, varian 4WD baharu itu juga menawarkan ruangan kabin luas dan selesa pada tapak roda berukuran 2,705 milimeter (mm) dengan panjang keseluruhan kenderaan sehingga 4,672 mm.