Namun, diberi kesempatan oleh BMW Malaysia Sdn. Bhd. untuk menunggang uji jentera berkenaan baru-baru ini, sedikit demi sedikit perasaan itu mula berubah.

Semakin diamati dan diteroka setiap sudutnya membuatkan hati mula jatuh cinta kepada jentera gaya retro ini.

Sememangnya pembuatan R nineT cukup berkualiti dan halus dari semua aspek, memperlihatkan seni pertukangan yang amat teliti dan mengagumkan.

Tidak hairanlah sama ada ketika menunggang, berhenti di lampu isyarat merah atau diparkir, banyak mata yang menjeling, mungkin terpesona dengan ‘ke­tampanannya’!

Ditambah dengan bunyi ‘garang’ daripada ekzos berkembar Akrapovic, ternyata berjaya menarik perhatian ramai, tidak kira semasa memecut atau ditunggang santai.

Sebetulnya, R nineT amat sesuai untuk peminat cafe racer.

Ini kerana bahagian-bahagian seperti lampu, ekzos dan belakang termasuk tempat duduk pembonceng boleh dibuka dengan mudah, untuk diubah atau diganti mengikut cita rasa tersendiri.

Walau bagaimanapun, ciri-ciri yang ditonjolkan itu bukan bermakna R nineT hanya sekadar untuk bergaya semata-mata.

Semakin lama berdampingan dengannya, semakin banyak kehebatan yang ditemui pada jentera ini.

Penulis sendiri mula merasai kuasa luar biasa pada enjin boxer 4-lejang, dua silinder, 1,170cc penyejuk udara ini sebaik sahaja memasuki Lebuh Raya Utara Selatan dari ibu pejabat BMW di Cyberjaya.

Enjin yang dipenuhi daya kilas cukup padu menjadikan setiap tahap gear mampu dipecut laju.

Penulis tidak berkesempatan memulas pendikit semaksimum mungkin namun, melihat jarum speedometer pada kedudukan 180 kilometer sejam (km/j) pun sudah memadai untuk mengesahkan yang jentera ini cukup stabil ditunggang pada kelajuan tinggi.

Meskipun enjin jenis boxer membuatkan motosikal ini ‘bergegar’, keadaan tersebut tidak sedikit pun mengganggu tunggangan. Malah, ciri sedemikian amat sesuai dengan penampilan gaya klasiknya.

Biarpun reka bentuk R nineT bercirikan klasik, bagi jarak perjalanan sedikit jauh seperti ke Bentong, Pahang melalui jalan lama Ulu Yam-Goh Tong Jaya seterusnya memasuki Lebuh Raya Karak, kedudukan tungga­ngan sedemikian rasanya masih cukup selesa.

Fork terbalik di bahagian depan boleh dilaras secara ma­nual mengikut keselesaan penunggang, ditambah handlebar yang lebar membuatkan gaya tunggangan menjadi lebih santai.

Bagi kaki ‘leper’ pula, R nineT pastinya tidak mengecewakan.

Ketika singgah di Bukit Tinggi, jentera ini cukup stabil serta meyakinkan di setiap selekoh pendek dan tajam.

Dua, tiga kali peg feelers me­nyagat jalan sudah cukup memberi keseronokan serta kepuasan berganda kepada penulis.

Ditambah dengan sistem brek antikekunci (ABS) pada bahagian depan dan belakang, menambahkan lagi keya­kinan semasa menunggang dalam semua kea­daan.

Begitu juga dalam kesesakan lalu lintas di bandar, tiada masalah untuk mencelah dan ‘mencilok’ jentera seberat 222 kilogram (kg.) ini.

Kesimpulannya, R nineT se­suai untuk semua keadaan tungga­ngan, tidak kira di lebuh raya, jalan lama mahupun bandar.

Jentera ini sememangnya satu pilihan tepat kepada mereka yang mementingkan gaya tapi pada masa sama mahu memiliki jentera sehebat superbike.

R nineT ditawarkan pada harga RM101,900 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Mungkin ada yang menganggap harganya agak mahal, tapi perca­yalah, nilai tersebut adalah berbaloi dengan keistimewaan dan kelebihan yang ada pada jentera ini.