Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, Myvi yang diperkenalkan pada Mei 2005 merupakan model kereta nombor satu sehingga akhir tahun 2014.

“Setakat ini, kami telah menghasilkan hampir satu juta buah Myvi sejak tahun 2005 dan angka itu akan dicapai dalam satu tempoh bulan ini,” katanya ketika ditemui sempena acara Perodua Media Drive 2017 di sini baru-baru ini.

Yang turut serta, Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin dan Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd., Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Menurut Aminar, Myvi telah dijual di tujuh buah negara termasuk di Sri Lanka, Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji, dan Nepal di bawah jenama Perodua, sementara di Indonesia pula, jenama Daihatsu Sirion.

Jelas beliau, secara keseluruhannya, Perodua mengeksport sebanyak 35,400 buah model Myvi atau Sirion sejak 2006 di negara-negara berkenaan de­ngan pasaran terbesarnya adalah di Indonesia iaitu menghampiri 31,000 buah.

Katanya, Perodua akan terus menawarkan Myvi dalam pasaran tempatan dan luar negara kerana model itu sendiri telah menjadi sebuah jenama yang kukuh, selain terus menerima permintaan tinggi daripada para pelanggan setia.

“Kami di Perodua gembira, namun kekal rendah diri de­ngan amanah yang diberikan oleh orang ramai kepada jenama Myvi dan kami akan terus menawarkan nilai dan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Aminar berkata, bagi empat bulan pertama tahun ini iaitu Januari hingga April, sebanyak 64,700 buah kenderaan Perodua berjaya terjual iaitu peningkatan 4.1 peratus daripada 62,100 buah tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, untuk tempoh tersebut juga, semua kenderaan Perodua adalah model paling laris dalam segmen masing-masing dengan Axia sebanyak 22,000 buah berjaya terjual, Bezza (19,500), Myvi (13,900) serta Alza (9,300).