Jadi, mereka lebih cenderung membeli kereta baharu yang pasti kurang bermasalah dan tidak mudah rosak berbanding dengan kereta terpakai.

Hakikatnya, laporan daripada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) memberitahu, pengguna kereta baharu paling ramai mengalami masalah perkhidmatan selepas jualan.

Pengurus Perundangan dan Dasarnya, Mandeep Singh berkata, NCCC menerima sebanyak 2,244 aduan melibatkan pelbagai ketidakpuasan pengguna berkaitan servis pada 2015.

Beliau berkata, aduan mengenai masalah teknikal kereta baharu adalah kedua tertinggi iaitu 21.4 peratus.

“Aduan dan masalah yang menimpa kebanyakan pemilik kereta banyak melibatkan perkhidmatan selepas jualan yang tidak memuaskan termasuklah servis kenderaan di pusat servis atau bengkel biasa.

“Kebanyakan pengadu mendakwa kereta baharu mereka sering tersentak atau jerking ketika sedang memandu. Walaupun telah dibaiki di bengkel atau pusat servis, masalah masih belum selesai.

“Selain itu, ada juga pelbagai aduan lain berkaitan tuntutan jaminan, alat ganti tidak tulen dan sebagainya yang kami terima,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna perlu tahu hak jika masalah sedemikian berlaku kerana mereka kerap mengadu ditipu oleh pekerja atau pengusaha bengkel.

“Perkara ini tidak dinafikan kerana dalam aduan yang kami terima, memang ada pengguna mengaku membayar kos tinggi kepada bengkel atau pusat servis untuk alat ganti tulen tetapi yang dapat adalah alat tiruan.

“Justeru, jika terjadi hal sedemikian atau melibatkan sebarang ketidakpuasan, pengguna boleh tampil buat aduan dan kita akan sampaikan kepada pihak berwajib.

“Semua sedia maklum, sebagai pengusaha pusat servis yang sah mereka patut memastikan kenderaan berfungsi dengan baik dan selamat,” ujarnya.

Mandeep juga mengalu-alukan aduan daripada orang ramai kepada NCCC dengan melayari www.nccc.org.my.