Biarpun baru kira-kira setahun bergiat dalam perlumbaan litar, penglibatan 4flex Racing Team dilihat semakin serius dan agresif. Pasukan tersebut terdiri daripada 16 orang kru termasuk pemandu.

Pasukan itu turut menampilkan seorang pelumba wanita, Ninieys Che Lah bersama tiga orang pelumba lelaki iaitu Mohd. Onny Ramlee, Mohd. Noor Benny Rosly dan Muhammad Zaki Md. Zain.

Perlumbaan pertama yang disertai

pasukan ini adalah dalam acara time attack (kejar masa). Setelah mendapat momentum daripada pertandingan tersebut, 4Flex Racing Team mengatur langkah lebih jauh dengan menceburkan diri dalam pertandingan format lain. Antaranya, Malaysia Speed Festival (MSF), Terengganu Drag Battle 2017 dan perlumbaan Sepang 1,000 kilometer (S1K).

Penubuhan 4flex Racing Team bermula dengan penggabungan dua entiti perniagaan iaitu 4flex Performance dan 4Flex Lubricants. Jenama 4flex sebenarnya sudah lama bertapak dalam industri permotoran dengan mengeluarkan spring penyerap hentakan.

Pengurus 4Flex Racing Team, Ridzuan Ishak, 36, berkata, penglibatan pasukan itu dalam arena permotoran adalah bertujuan

memainkan peranan melonjakkan kedudukan industri permotoran di samping menyumbang kembali untuk pembangunan arena ini.

Menambahbaik

“Kami sebagai antara pemain utama industri permotoran menggunakan ruang ini untuk menambahbaik produk kami di samping menyumbang kembali demi masa depan industri ini,” katanya.

Menurut Ridzuan, pasukan tersebut turut terlibat dalam perlumbaan litar bagi menguji kemampuan produk keluaran 4flex.

“Produk utama kami ialah komponen yang digunakan dalam perlumbaan. Jadi, medan perlumbaan turut menjadi lapang sasar menguji keberkesanan produk. Setiap kelemahan yang dikenalpasti ketika perlumbaan akan diperbaiki untuk mendapatkan keputusan lebih baik.

“Selain itu, ia sebagai penandas aras penglibatan kami dalam bidang ini dan kami bukan sekadar menjual produk,” katanya.

Sehingga kini, 4Flex Racing Team mempunyai lima buah kereta iaitu dua buah Subaru Impreza serta sebuah Proton Satria Neo, Suzuki Swift dan Proton Gen2.

Jelas Ridzuan, kereta Proton Gen2 digunakan dalam pertandingan pecut drag manakala Proton Satria Neo dan Suzuki Swift akan beraksi dalam perlumbaan S1K.

“Sementara itu, kereta Subaru Impreza version 7 akan digunakan dalam acara sukan pecut drag, drift dan MSF. Subaru Impreza Version 9 pula digunakan dalam pertandingan autoshow dan rali,” ujarnya.

Jika dilihat daripada koleksi kereta milik pasukan tersebut, sudah tentu ia bukan pilihan utama kebanyakan pelumba yang rata-rata lebih berminat dengan model popular seperti Mitsubishi Evolution dan Nissan Skyline yang sudah terkenal dengan tenaga dan kuasa kuda yang dijana.

Perkara tersebut tidak menjadi keutamaan kepada pasukan 4Flex. Ini kerana pasukan itu mensasarkan perlumbaan di peringkat akar umbi. Oleh sebab itu, kebanyakan jentera yang digunakan adalah kereta yang banyak terdapat di atas jalan raya dan menjadi pilihan pengguna.

“Sebenarnya apa jua kereta pun boleh digunakan dalam perlumbaan. Namun kita perlu memastikan setiap pengubahsuaian dan modifikasi mestilah bertepatan untuk menjamin ketahanan semasa perlumbaan,” tambah Ridzuan.

Sebenarnya, penyertaan pasukan itu dalam pertandingan perlumbaan litar adalah sebagai persiapan untuk mewujudkan pertandingan sendiri pada masa hadapan. Bagi menjayakan hasrat tersebut, 4flex Racing Team sedang berusaha mendapatkan sebidang tanah untuk dijadikan litar perlumbaan.