Lebih membimbangkan, tayar-tayar terpakai yang diragui tahap keselamatannya itu semakin mendapat sambutan kerana harganya yang jauh lebih murah berban­ding tayar baharu.

Pengarah Urusan syarikat Zam O Lima Sdn. Bhd, Amir Hasan berkata, sambutan terhadap tayar terpakai yang dikorek semula untuk mengembalikan bunga tayar semakin meningkat dan agak membimbangkan.

Beliau berkata, tayar-tayar yang di­seludup tanpa diketahui sumber asalnya itu sangat berbahaya kerana mempunyai risiko tinggi mudah pecah berban­ding tayar terpakai yang diperolehi secara trade-in.

“Tidak dinafikan harga tayar-tayar seperti ini sangat murah tapi kita harus memikirkan soalan keselamatan diri dan ahli keluarga ketika di jalan raya.

“Sebab itu saya syorkan penggunaan model-model tayar ber­­s­pesifikasi rendah kepada pelanggan yang berbaget rendah asalkan ia tayar baharu.

“Ramai juga tidak menyedari penggunaan tayar baharu lebih menjimatkan, tambahan keba­nyakan pe­ngeluar kini memberi jaminan ketahanan sehingga lima tahun,” ujarnya.

Ketika mengulas cara-cara penjagaan tayar, Amir mengesyorkan pemandu melakukan pemeriksaan dan penyelenggaraan setiap tiga bulan atau setiap 10,000 kilometer.

“Antara penjagaan terpenting adalah dengan me­lakukan penjajaran (alignment) dan pengimbangan (balancing) roda.

“Pemandu juga digalakkan mela­kukan penyilangan tayar (rotation). Semua ini perlu dilakukan untuk memberi kawalan maksimum kenderaaan semasa pemanduan,” katanya.

Menurut Amir, tekanan angin dalam tayar juga sering diabaikan pemandu sehingga menyebabkan kemerosotan kualiti tayar dan menjejaskan pemanduan.

Lebih merugikan katanya, ada pengguna yang memilih tayar-tayar berprestasi tinggi tetapi men­gabaikan kepentingan penjagaan tayar sehinggakan tidak pernah memeriksa tekanan angin dalam tayar selama berbulan-bulan.

“Pemeriksaan dan penambahan angin tayar seelok-eloknya dilakukan sebulan sekali.

“Tayar yang kempis bukan sahaja menyebabkan kenderaan menggunakan lebih banyak bahan bakar bahkan sangat berbahaya,” ujar beliau yang pernah berkhidmat sebagai pengurus kilang tayar sebelum memulakan perniagaan sendiri sejak sembilan tahun lalu.

Amir menceburi dunia perniagaan pada 2009 apabila bengkel miliknya berope­rasi di Jalan Reko Sentral 9, Kajang, Selangor.

Zam O Lima kini mempunyai dua lagi cawangan iaitu di Karak dan Temerloh, Pahang manakala satu lagi premis yang bakal bero­perasi sebagai pejabat urusan syarikat di Bandar Seri Putra, Se­langor dijangka siap penghujung tahun depan.

Menurutnya, perkembangan perniagaan semakin rancak selepas menerima suntikan dana melalui pembiayaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pada tahun lalu.

“Pembiayaan berjumlah RM1 juta yang diluluskan PUNB membolehkan saya ‘bernafas’ sementara menanti pembayaran daripada syarikat yang berhutang terutama syarikat milik kerajaan (GLC) yang agak panjang tempoh kreditnya.

“Walaupun syarikat ini masih boleh bertahan tanpa suntikan mo­dal ketika itu, pembiayaan PUNB ternyata pilihan yang tepat untuk melancarkan pusingan modal,’’ katanya.

Mengimbau cabaran pada awal perniagaan, Amir mengakui menghadapi kesukaran untuk berkembang sehingga menukar strategi pemasaran menjadi lebih agresif.

“Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, kami bersyukur kerana masih dapat mengekalkan prestasi bahkan prestasi di setiap cawangan yang baharu dibuka turut meningkat.

“Kami juga masih mampu menambah kakitangan sejajar de­ngan keperluan dan menghantar mereka menghadiri latihan untuk meningkatkan kemahiran,’’ katanya yang memiliki 26 orang kakitangan,’’ katanya.

Antara kunci kejayaan perniagaan beliau adalah tawaran harga yang kompetitif setanding dengan kedai-kedai bukan Bumiputera kerana bekalan diperolehi secara terus dari kilang.

Pada masa ini, syarikat Zam O Lima menjadi antara syarikat pembekal tayar Bumiputera terbesar di negara ini dengan profil jenama utama iaitu Continental dan Brigdestone.

“Zam O Lima merupakan syarikat Bumiputera pertama pernah mencapai taraf VVIP melalui pengiktirafan Continental selain dikategori sebagai kelas A pembekal Bumiputera.

“Kami juga menjadi syarikat Bumiputera pertama berjaya membuka kedai Bridgestone Fleet Point (BFP) dan menerima anugerah pembekal VIP oleh Bridgestone,” tambahnya.

Ketika mengulas rancangan masa depan syarikatnya, Amir berkata, beliau berhasrat membuka empat lagi cawangan bengkel termasuk menyediakan lebih banyak peluang kemahiran dan keusahawanan dalam kalangan anak muda.