Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, situasi itu menyebabkan seramai 60 pemegang Permit Import (AP) motosikal berkuasa tinggi di negara ini bakal menghentikan perniagaan mereka seterusnya mencari jalan segera untuk melunaskan hutang pinjaman dengan pihak bank dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“AP motosikal berkuasa tinggi telah dikeluarkan pada 2012, dan sekurang-kurangnya modal diperlukan sebanyak RM2 juta untuk memulakan perniagaan. Jadi, ada dalam kalangan para usahawan ini terpaksa mencagar tanah dan kediaman atau membuat pinjaman.

“Apabila keadaan ini berlaku, ramai yang akan beranggapan ‘orang Melayu tak pandai berniaga, banyak berangan dan tidak belajar dari bawah untuk menjalankan perniagaan’. Tapi, ramai yang tidak mengetahui situasi mereka ini sebenarnya seperti ditindas.

“Bukan ingin menyalahkan dasar dan polisi yang ditetapkan, tapi itulah hakikatnya. Cukai import sahaja yang dikenakan terhadap pemegang AP motosikal dua kali ganda hingga mencecah RM24,000 seunit. Siapa hendak beli?” katanya kepada Pekema Auto & Industri di sini baru-baru ini.

Zainuddin yang ditemui di pusat pameran Zaibar Motors miliknya di Shah Alam memberitahu, beliau sendiri turut menjual motosikal berkuasa tinggi sejak empat tahun lalu namun terpaksa melelongnya semula pada harga kos.

Beliau yang mempunyai pengalaman berniaga sejak tahun 1980-an berkata, pelbagai promosi termasuk di media cetak dan laman sosial serta karnival besar-besaran diadakan sejak Jumaat lalu di premisnya itu, tetapi hanya tiga buah daripada 70 buah motosikal berkuasa tinggi berjaya dijual.

“Untuk makluman, jualan besar-besaran termasuk diskaun mencecah hingga 50 peratus ini tidak memberi keuntungan pun malah saya terpaksa menanggung kerugian hingga RM2,000 bagi sebuah motosikal.

“Suka atau tidak, saya terpaksa juga menanggung kerugian ini dan membuat keputusan muktamad untuk menutup perniagaan motosikal berkuasa tinggi berikutan kadar cukai yang dikenakan semakin hari semakin membebankan,” katanya.

Tambah Zainuddin, pertemuan dan perbincangan dengan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan telah diadakan setiap bulan sejak tahun lalu namun tidak memberi sebarang perkhabaran baik kepada penjual dan pemegang AP kerana tiada sebarang keputusan atau kata sepakat yang bersifat ‘menang-menang’ dicapai.

“Sejak saya menjawat kedudukan dalam Pekema ini, saya selalu tertanya-tanya; jika pelbagai kelebihan dan insentif ditawarkan kepada peniaga francais, kenapa situasi sama tidak diberikan kepada pemegang AP bumiputera ini.

“Tidak salah untuk saya menyifatkan keadaan ini ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah mati kelaparan’. Jika masalah ini berlarutan, secara tidak langsung periuk nasi usahawan yang berusia antara 30 hingga 40 tahun ini turut terjejas,” katanya.