Program tersebut akan diadakan di Pusat Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang terletak di ibu kota bagi menghimpunkan kesemua pengusaha, pemilik dan peminat kenderaan vintaj.

Pengarah Urusan Kuala Lumpur & Temasek Enterprise Sdn. Bhd., Mohd. Zaini Repin berkata, selain berkongsi ilmu mengenai kenderaan tersebut, para pengunjung juga berpeluang mengetahui sejarah kereta klasik.

“Kegemilangan kereta klasik perlu dihidupkan semula dalam kalangan generasi muda kerana banyak tanggapan kononnya kenderaan ini untuk mereka yang kaya dan berusia.

“Tujuan Classic Car Show ini untuk menggerakkan aktiviti dengan lebih tersusun dan rapi selain memberi peluang masyarakat melihat dengan lebih dekat pelbagai jenama serta model kereta klasik yang akan dibawa khas dan dipamerkan,” katanya kepada Pekema Auto & Industri, baru-baru ini.

Jelas Mohd. Zaini, sebanyak 15 syarikat kereta klasik telah bersetuju untuk menyertai program ini dan dijangka mendapat sambutan kira-kira 10,000 pengunjung.

Katanya, pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya pameran pelbagai kereta klasik, jualan dan promosi pelbagai barangan berkaitan kereta klasik.

“Sebelum ini, program yang sama pernah diadakan tetapi dalam skala yang kecil. Atas sambutan yang cukup menggalakkan, saya berusaha mendapatkan kerjasama daripada Matrade untuk menganjurkan bersama.

“Paling utama program ini bakal memberikan promosi kepada negara di mata dunia bahawa fenomena kereta klasik masih diminati di Malaysia,” katanya.