Seruan itu disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat Pekema, Datuk SM Zulkifli SM Amin yang mahu ahli-ahli pertubuhan tersebut merebut peluang itu bagi membantu mereka daripada aspek promosi dan iklan perniagaan.

Katanya, memandangkan kos penjenamaan dan iklan adalah tinggi, setiap ahli Pekema sewajarnya mengambil peluang dengan memasarkan produk masing-masing menerusi sisipan Pekema Auto dengan kos berpatutan.

“Dalam perniagaan, kuasa jenama adalah sangat penting. Sebab itu saya menyeru setiap ahli merebut peluang iklan serta pemasaran menerusi sisipan Pekema Auto.

“Walaupun pasaran lembab, tidak apa, tetapi jangan kita yang lembab. Dalam situasi pasaran ketika ini, kita kena lebih cergas dengan melakukan iklan, promosi sama ada secara terus, penulisan atau pun 'advertorial’,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, SM Zulkifli berkata, idea penerbitan Pekema Auto bertujuan membantu ahli-ahli Pekema mendepani cabaran perniagaan masa kini.

Katanya, Pekema sedar ketika ini ahli-ahli pertubuhan itu mengalami kesusahan untuk memasarkan produk masing-masing memandangkan pasaran tidak menentu, ditambah pula dengan keyakinan pembeli yang rendah.

“Bukan mahu kata ekonomi kita tidak bagus, tetapi situasi ketidaktentuan ini menyebabkan orang ramai tidak mahu komitmen dan melakukan pelaburan.

“Sedangkan pada masa sekarang, kenderaan-kenderaan yang dijual oleh ahli-ahli Pekema menawarkan harga yang menarik dengan waranti tiga tahun. Kami mahu terangkan kepada pembeli dan pada masa sama meningkatkan jualan ahli-ahli Pekema,” jelas beliau.

Menurut SM Zulkifli, sambutan dalam kalangan ahli Pekema terhadap sisipan Pekema Auto sangat menggalakkan sejak dilancarkan terutamanya dalam kalangan ahli di sekitar Lembah Klang yang melibatkan pasaran lebih besar dan sibuk daripada aspek persaingan.

Bagaimanapun, katanya, sejak dua tiga keluaran lalu, Pekema telah menerima permintaan dalam kalangan ahli dari luar Lembah Klang seperti Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Johor.

Beliau yang menyifatkan perkembangan tersebut sebagai sangat baik memberitahu, disebabkan itu, Pekema Auto akan diterbitkan sebagai 20 muka surat berbanding 13 sebelum ini bagi menampung permintaan daripada ahli serta pemain industri lain.

“Pekema Auto juga terbuka kepada industri sampingan oleh ahli-ahlinya seperti perhotelan dan sebagainya serta bukan hanya untuk ahli-ahli Pekema sahaja. Sesiapa yang mempunyai produk-produk yang mahu dikongsi dan diuar-uarkan kepada penjual kenderaan, boleh diketengahkan.

“Ini merupakan pendekatan dua hala, bermakna bukan sahaja ahli Pekema yang menawarkan produk kepada pembeli, tetapi orang luar yang mempunyai produk sampingan seperti logistik, peralatan, aksesori kenderaan boleh sama-sama mengambil peluang iklan atau promosi di dalam Pekema Auto,” ujar beliau.

Dalam pada itu, SM Zulkifli memberitahu, Pekema Auto juga menjadi platform untuk ahli-ahli Pekema mengutarakan idea atau cadangan untuk menambah baik industri.

Beliau percaya, idea serta pandangan yang diuar-uarkan ahli menerusi Pekema Auto mendapat perhatian pemain industri, pihak berkuasa dan juga kerajaan.

Untuk ahli atau pemain industri yang berminat mengiklan atau mempromosi produk di Pekema Auto boleh berhubung menerusi alamat emel pekemaauto@gmail.com atau lawati laman Facebook Pekema Auto.