Tetapi kali ini, penulis telah diberi model Passat Comfortline + untuk diuji. Sebenarnya penulis telah menguji model Passat Comfortline sebelum itu dan ia tidak jauh berbeza kecuali beberapa tambahan kosmetik yang lebih menawan.

Bercakap dari segi reka bentuknya, penulis akui model Passat kali ini lebih menawan yang jelas menunjukkan ia seperti model premium segmen D sedan dari Jerman.

Semua jenis Passat bermula daripada versi Trendline sehingga Highline mengekalkan sifat fizikal yang hampir sama dan hanya berbeza melalui sentuhan kosmetik seperti kemasan dalaman, kuasa enjin, penggunaan rim, ciri-ciri keselamatan dan lain-lain lagi.

Semua model Passat dihiasi lampu utama yang lebih nipis, jaluran bahu memanjang ke belakang dan juga lampu belakang yang turut nipis. Segala-gala­nya lebih nipis dan lebar menjadikan model ini lebih menawan, cantik dan penuh de­ng­an nilai seni Eropah.

Secara fizikalnya, reka bentuk hadapan yang kelihatan menjunam ke bawah memberi kelebihan untuk mengurangkan kesan rintangan dan pada masa yang sama mengekalkan daya graviti yang stabil ketika pemanduan laju. Jalur gril hadapan berwarna perak menjadikan model ini tampak tegap.

Jika dibandingkan dengan Passat Comfortline, model Passat Comfortline + ialah penggunaan rim aloi 18 inci jenis Monterey dan juga cermin yang lebih gelap tetapi mengikut spe­sifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia merupakan faktor tarikan untuk model ini.

Penggunaan warna tema hitam serta diadun dengan warna kelabu yang memanjang pada papan pemuka menghasilkan aura tersendiri. Corong pen­dingin hawa utama disepadukan dengan jaluran hitam tersebut.

Passat Comfortline + dilengkapi tiga zon Pure Air Climatro­nic yang memastikan pendingin hawa membekalkan udara yang bersih dan sihat. Terdapat butang kawalan suhu 3 zon untuk pemandu, penumpang hadapan dan belakang.

Terdapat jam analog di tengah yang merupakan imej tersendiri Passat. Sentuhan pembaharuan ruang dalamannya tidak jauh berbeza de­ngan model Passat Comfortline.

Bagi model ini, penulis me­ngujinya sehingga ke Perlis me­lalui Lebuh Raya Utara Selatan. Tangki minyak lebih kurang 66 liter mampu membawa penulis ke Perlis sehingga kembali semula ke Kuala Lumpur dan mengisi minyak di Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol. Itu pun setelah melalui Pulau Pinang. Penggunaan minyaknya pula ialah 5.7 liter/100 kilometer (km).

Jentera berkuasa 180PS @ 5,100-6,200rpm benar-benar me­­­ngujakan. Pada kelajuan 180 km/j Passat Comfortline + masih stabil dan bunyi bising tidak mengganggu muzik yang dimainkan. Penggunaan tayar yang lebih besar memberi cengkaman yang lebih dalam mengendalikan jentera ini.

Paddle shifter pada stereng banyak membantu pe­ngen­da­lian. Anda boleh menukar gear rendah dan tinggi pada stereng tanpa menumpukan kepada tombol gear. Penukaran gear yang pantas menjadikan ia jentera yang seronok dikendalikan. Tidak cukup dengan itu, alihkan tombol gear pada mod sport dan anda akan rasakan ledakan kuasanya.

Sukar untuk menemukan kcacatan dari segi kuasa dan juga fizikal untuk model ini. Segala-galanya telah diletakkan pada kedudukan yang sesuai oleh jurutera Jerman untuk model ini. Perasaan yang dapat dijelaskan untuk model ini, - ia sangat mengujakan.