Passat B8 ini dihiasi lampu utama lebih nipis, jaluran bahu memanjang ke belakang dan juga lampu belakang yang turut nipis. Segala-galanya lebih nipis dan lebar menjadikan model ini lebih menawan, cantik dan penuh de­-
ng­an nilai seni.

Secara fizikalnya, reka bentuk hadapan yang kelihatan menjunam ke bawah memberi kelebihan untuk mengurangkan kesan rintangan dan pada masa yang sama mengekalkan daya graviti yang stabil ketika pemanduan laju. Jalur gril hadapan berwarna perak menjadikan model ini tampak tegap.

Kali ini penulis diberi Passat B8 Comfortline dengan enjin 1.8 liter turbo untuk dipandu uji. Sebenarnya Passat telah dilancarkan di Malaysia dengan tiga va­rian iaitu Passat Trendline, Passat Comfortline dan Passat Highline. Varian Trendline juga menggunakan enjin yang sama dengan Passat Comfortline.

Ruang dalaman Passat B8 amat menawan. Penggunaan warna tema hitam yang memanjang pada papan pemuka menghasilkan aura tersendiri. Corong pendingin hawa utama disepadukan dengan jaluran hitam tersebut. Jam analog yang merupakan imej utama Passat masih terletak di tengah papan pemuka. Secara amnya, hiasan dalaman masih sempurna. Sentuhan pembaharuan ruang dalamannya tidak jauh berbeza de­ngan model Passat B7.

Passat kini lebih efisien de­ngan fungsi start/stop, brek de­ngan penjanaan semula tenaga dan rekaan badan yang aerodinamik untuk menawarkan penjimatan bahan api luar biasa.

Fungsi start/Stop akan mematikan enjin apabila kereta berada dalam keadaan pegun dan menghidupkannya kembali apabila anda mula berge­rak. Ciri brek dengan janaan tenaga pula mengitar semula tenaga yang hilang, menyimpan dan menggunakannya untuk memecut.

Seperti artikel-artikel yang lain, penulis selalu memuji kemampuan dan kecekapan enjin jentera Volkswagen. Begitu jugalah dengan model Passat B8 Comfortline. Ia masih sempurna segala-galanya daripada reka bentuk, kemampuan enjin sehinggalah kepada kawalan pemanduan.

Passat B8 yang dinaikkan kuasa kudanya kepada 178 berbanding model terdahulu merupakan sebuah jentera yang boleh diharapkan ketika membelasah laluan yang lurus mahupun berselekoh. Ketika memecut sehingga 170 kilometer sejam (km/j) ia tidak menonjolkan sifat agresif, tetapi masih selesa.

Paddle shifter pada stereng banyak membantu pe­ngen­da­lian. Anda boleh menukar gear rendah dan tinggi pada stereng tanpa menumpukan kepada tombol gear. Penukaran gear yang pantas menjadikan ia jentera yang seronok dikendalikan. Tidak cukup dengan itu, alihkan tombol gear pada mod sport dan anda akan rasakan ledakan kuasanya.

Penggunaan rim 17 inci dan tayar yang mempunyai tahap halangan pusingan rendah memberikan Passat kecekapan tenaga dan penjimatan bahan api secara ke­seluruhannya. Malah ia membantu mengharungi selekoh tajam dengan kelajuan yang tinggi.

Dengan kata lain, Volkswagen telah melakukan sentuhan yang terbaik untuk model ini. Segala-galanya cukup sempurna dari segi reka bentuk dan prestasinya.