Mereka terdiri daripada Naza World Group of Companies (Naza), Petronas Nasional Berhad (Petronas) dan MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo).

Penasihat Kanan Naza, Zakaria Ismail berkata, kira-kira 80 motosikal Harley Davidson dari Semenanjung dan negara-negara jiran akan mengambil bahagian dalam Borneo International Harley Owners Group (HOG) Rally Malaysia (BIHRM) sejauh 1,450 kilometer itu.

Menurutnya, konvoi akan bermula di Kota Kinabalu, Sabah menuju Brunei dan berakhir di Kuching, Sarawak.

“Ini merupakan perhimpunan terbesar motosikal Harley Davidson merentas sempadan negeri sehingga Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Naza, HOG Kuala Lumpur Chapter Malaysia (HOG KLCM), Petronas dan MASkargo di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah HOG KLCM, T.J. Roslan; Ketua Pemasaran Runcit Petronas Dagangan Berhad, Abang Jimmy Abang Mardian dan Ketua Pegawai Operasi MASkargo, Mohd. Zulkefly Ujang.

Menerusi kerjasama tersebut, Petronas akan membekalkan petrol kepada para peserta sepanjang perjalanan manakala MASkargo menyediakan perkhidmatan logistik dengan menerbangkan kesemua motosikal terbabit dari Semenanjung ke Kota Kinabalu dan pulang semula dari Kuching.

Penerbangan itu bakal menjadi penghantaran terbesar motosikal dengan pesawat yang dijangka memakan masa keseluruhan kira-kira dua minggu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga dijadualkan menyertai konvoi berkenaan ke Kota Kinabalu International Bike Week.

Selain melawat lokasi-lokasi menarik sepanjang perjalanan, para peserta turut terlibat dengan program-program tanggungjawab sosial korporat. - UTUSAN ONLINE