Ketua Pegawai Operasi Automotif Kumpulan, Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, teknologi canggih dengan pelbagai ciri dipertingkat itu akan menyediakan lebih nilai premium dan kepuasan kepada pelanggan.

“Kami yakin varian baharu ini akan menjadi satu kisah kejayaan kepada kumpulan kerana terdapat permintaan yang tinggi untuk kenderaan diesel dalam pasaran tempatan,” katanya da­lam kenyataan di sini baru-baru ini.

Kia Sportage GT dikuasakan oleh enjin 2.0 liter Turbodiesel yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 184hp @ 4,000rpm, dan kuasa kilas 400 Nm @ 1,750 hingga 2,750rpm dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan.

Imej luaran varian diesel itu sebahagian besarnya masih dikekalkan seperti versi petrol, namun terdapat beberapa perubahan pada bampar hadapan dan belakang, rekaan lampu, selain disertakan bersama roda aloi keemasan 19 inci.

Bagi bahagian dalaman, ia dilengkapi dengan pelbagai elemen teknologi terbaharu seperti sistem infotainment multimedia, kamera undur, sistem bunyi enam pembesar suara, skrin TFT-LCD 4.2 inci dan tempat duduk kulit.

Kia juga tidak mengabaikan aspek keselamatan varian tersebut kerana ia hadir lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan juga Bantuan Mula Mendaki (HAC).

Kia Sportage GT boleh didapati dalam lima pilihan warna iaitu Cherry Black, Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl dan Mineral Silver. Setiap pembelian lengkap dengan waranti lima tahun dengan perbatuan tanpa had.