Berpeluang memandu uji vari­an baharu Vios 1.5GX ke Melaka baru-baru ini memberi pengalaman pemanduan berbeza. Vios yang pertama kali diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 2013 kini ditambah baik dengan beberapa ciri dan pembaharuan berbanding model keluaran sebelumnya.

Vios 2016 hadir dengan enjin baharu 2 NR-FE dan Transmisi Berubah-ubah Berterusan (CVT) dengan tujuh kelajuan Sport Sequential Shiftmatic Mode, menggantikan enjin transmisi automatik empat kelajuan sebelumnya. Enjin tersebut mempunyai sesaran 1.5 liter dengan 16 injap DOHC dan Dual VVT-i menjadikan pemanduan lebih laju dan lancar.

Enjin baharu yang dilengkapi CVT juga dapat memberikan sehingga 18 peratus penjimatan bahan api berbanding enjin sebelumnya. Bagi mereka yang inginkan pemanduan pa­ling ekonomikal, terdapat petu­njuk eko pada panel instrumen yang akan menyala tatkala enjin berjalan secara optimum dengan penggunaan bahan api yang pa­ling berkesan.

Kesemua varian Vios 2016 baharu kini turut dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) bagi membantu menstabilkan kereta daripada terbabas. Selain VSC, ciri keselamatan lain yang terdapat pada model yang dipertingkatkan ini termasuklah sistem brek antikekunci (ABS) dengan Edaran Brek Secara Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA).

Semasa sesi pandu uji ini dijalankan, penulis dapat merasakan kuasa enjin yang diperkasa berjalan lancar. Biarpun dalam kelajuan mencecah 160 kilometer sejam (km/j) ia masih mampu dikawal dengan tenang, sistem VSC juga membantu melakukan pemanduan di selekoh tanpa perasaan bimbang.

Berpeluang memandu uji varian Vios 1.5GX yang berwarna merah menjadikan penulis sedikit teruja. Tona warnanya berbeza dengan kenderaan lain yang berwarna merah di jalan raya. Ini menyerlahkan lagi sisi garang dan sporty model ini yang turut dilengkapi aerokit dengan rim aloi 15 inci dan tayar bersaiz 185/60R15.

Reka bentuk bahagian luar Vios masih segar seperti biasa dengan profil dinamik. Varian Vios TRD Sportivo, 1.5 GX dan 1.5G turut dilengkapi lampu depan projektor. Ia turut didatangkan dengan ciri manual bagi memastikan nyalaan lampu tersebut benar-benar fokus.

Selain itu, lampu nyalaan siang (DRL) juga diintegrasikan pada bahagian bampar hadapan kesemua varian Vios bagi memberikan penglihatan yang lebih baik daripada kereta pengguna jalan raya lain dalam semua keadaan pencahayaan.

Vios 2016 kini didatangkan dengan dua pilihan warna baharu, Crimson Spark Red Metallic dan Super White II selain tiga warna sedia ada iaitu Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Attitude Black serta satu warna khas bagi varian Vios 1.5 TRD Sportivo, White Pearl CS.

Vios baharu turut mementingkan keselesaan pemanduan dengan tempat duduk kulit berkualiti tinggi yang tersedia bagi varian 1.5G, 1.5GX dan 1.5 TRD Sportivo.

Varian yang dipandu uji ini dilengkapi dengan spesifikasi yang dipertingkat, seperti sistem kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, sistem audio yang ditambah baik dengan paparan skrin sesentuh 6.8 inci serta pemain DVD dan turut dilengkapi beberapa sambungan pilihan seperti AUX dan pemacu USB dan Bluetooth bagi membolehkan pengguna memainkan muzik kegemaran terus daripada peranti pintar.

Spesifikasi ini mencerminkan komitmen Toyota untuk memenuhi keperluan pelanggan dan pada masa sama mengekalkan kedudukan Vios sebagai model Toyota paling popular di Malaysia.

Apa yang lebih penting adalah Vios baharu yang kini diperakui EEV kini ditawarkan dengan harga lebih rendah berbanding model sebelumnya. Ia juga didatangkan dengan jaminan 5 tahun perbatuan tanpa had oleh UMW Toyota.

Vios 2016 benar-benar memberi penjimatan kepada wang!