Myvi “Hoonigan” pernah mendapat pengiktirafan sebagai king of kings dalam satu pertandingan autoshow anjuran Geng Autoshow Perak (GAP) di Lenggong, Perak pada awal tahun ini dan satu karnival anjuran KW Motorsports di Putrajaya pada 2014. Kereta itu juga pernah dinobatkan sebagai kereta terbaik dari Malaysia dalam satu pertandingan di Surat Thani, Thailand pada tahun lalu.

Melihat modifikasi yang dilakukan pada kereta tersebut, mereka yang tidak mengenali pemilik kereta ini mungkin menyangkakan dia adalah berketurunan Cina kerana modifikasi berat seperti itu biasa dilakukan oleh pemilik kedai aksesori kenderaan. Apatah lagi, pemilik kereta itu menggunakan nama samaran Leng Chai Kweu di akaun media sosial Facebook.

Pemilik Myvi “Hoonigan” sebenarnya berbangsa Melayu dan namanya ialah Abdul Azim Mohd. Razali. Pemuda berusia 28 tahun dan sudah berkahwin dengan dikurniakan tiga cahaya mata itu, mula menceburi bidang modifikasi kereta sejak 2012.

Pada mulanya, Abdul Azim yang dikenali sebagai “Leng Chai” dalam komuniti autoshow tidak pernah merancang untuk terlibat secara aktif dan serius dalam bidang autoshow. Sebaik memiliki Perodua Myvi pada 2010, dia menjadi ahli sebuah kelab Myvi dan sekadar terlibat dalam aktiviti kelab yang lebih berbentuk hubungan sesama ahli.

Namun, selepas menyertai Audio Team Aramaitii iaitu komuniti mereka yang aktif dalam modifikasi sistem audio kenderaan pada 2012, Abdul Azim mula terjebak dalam hobi modifikasi kereta secara serius.

Bermula dengan menaik taraf sistem audio secara ekstrem, anak jati Kuala Lumpur itu kemudian melakukan modifikasi penuh termasuk bahagian dalaman, luaran dan enjin secara berperingkat-peringkat.

Sehingga kini, Abdul Azim telah berbelanja lebih dari harga sebuah Perodua Myvi baharu untuk mengubahsuai Perodua Myvi tersebut yang merupakan antara kereta autoshow terbaik di Malaysia. Sebagai seorang ahli perniagaan yang terlibat dalam bidang pembinaan, dia mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan masa untuk bergiat secara aktif dalam hobi tersebut.

“Setakat ini, saya telah menyertai dan menjuarai 80 pertandingan autoshow. Saya sudah pusing satu Malaysia. Trofi pun sudah penuh satu bilik,” ujar Abdul Azim.

Bagi mereka yang tidak terlibat dalam bidang autoshow, pasti menyangka Abdul Azim mengejar hadiah kemenangan dan telah menang banyak hadiah tunai. Sebenarnya, hadiah wang tunai dalam pertandingan autoshow tidak banyak, cuma antara RM300 dan RM400 bagi pemenang setiap kategori. Hanya ada satu atau dua pertandingan besar yang menawarkan hadiah sehingga RM800 kepada pemenang.

Mereka yang bergiat dalam bidang autoshow ini lebih kepada minat dan mahukan trofi kemenangan sebagai pengiktirafan kepada penat lelah serta wang ringgit yang telah dibelanjakan terhadap hobi tersebut. Kemenangan merupakan satu kepuasan bagi mereka dan begitu jugalah dengan Abdul Azim.

Hadiah wang tunai dalam sesuatu pertandingan tidak boleh dibandingkan dengan kos yang dikeluarkan untuk modifikasi kenderaan. Kos perbelanjaan untuk pergi menyertai pertandingan autoshow di tempat-tempat yang jauh pun lebih tinggi daripada hadiah kemenangan.

“Saya berasa sangat seronok apabila menang dalam pertandingan autoshow apatah lagi setelah berjaya menjadi yang terbaik antara terbaik di seluruh negara. Ia mendorong saya untuk terus mengubahsuai kereta saya supaya menjadi lebih hebat,” katanya.

Berkongsi rahsia bagaimana isterinya tidak menghalang dia boleh bergiat aktif dan berbelanja begitu besar untuk hobinya itu, Abdul Azim memberitahu, dia akan memenuhi keperluan di rumah sebelum membelanjakan untuk barang kereta. “Isteri saya faham. Sebelum saya belanja untuk ubah suai kereta, saya akan belikan apa sahaja barang yang isteri mahukan terlebih dahulu,” jelasnya.

Menurut Abdul Azim, memandangkan kereta sudah dimodifikasi sepenuhnya dan memegang gelaran juara kategori Perodua modified selama dua tahun, dia ingin mencuba konsep modifikasi baharu pula. "Saya berminat dengan satu konsep modifikasi kereta autoshow tetapi biarlah rahsia dahulu," katanya.