Mungkin dia tidak mahu penulis terkejut setelah mengetahui pertama kali akan menunggang model berkenaan.

Sememangnya apa yang dikatakan luar biasa itu bukan sembang kosong kerana tatkala menunggang keluar dari Kompleks Hong Leong Yamaha di Sungai Buloh, Selangor, penulis sudah mula merasai ‘sesuatu’ pada jentera enjin 4-lejang 689cc sejuk cecair ini.

Kuasa terjahan luar biasa setiap kali pendikit minyak dipulas menjadikan motosikal jenis naked ini seolah-olah mahu menyondol apa sahaja yang ada di depannya!

Patutlah jentera ini sendiri diberikan nama MT, iaitu Master of Torque (daya motor).

Pantang berhenti di lampu isyarat merah, sebaik sahaja bertukar hijau, masuk gear satu dan seterusnya sambil pendikit dipulas sebanyak mungkin, jentera ini pasti meluncur paling ke depan mengalahkan kenderaan-kenderaan lain.

Diadun dengan posisi si penunggang yang tampak agresif, memang tidak ubah seperti budak nakal!

Keistimewaan tersebut terhasil berdasarkan falsafah crossplane oleh Yamaha pada enjinnya di mana selang pembakaran berbeza pada engkol bersudut 270 darjah menjadikan daya pecutan dan cengkaman cukup padu, ditambah corak kilas dalam memastikan prestasi yang umph setiap kali pendikit dipulas.

Sememangnya karakter jentera sebegini amat sesuai untuk kegunaan harian dalam bandar.

Selain itu, kerangka keluli ringan jenis backbone iaitu dibina sama dengan bentuk badan motosikal, berat hanya 179 kilogram (termasuk bahan api), saiz tangki yang ‘comel’ membolehkan paha memaut erat padanya menjadikan kawalan ketika ‘mencilok’ begitu mudah dan lancar.

Kelebihan sedemikian amat membantu ketika mengharungi laluan-laluan sibuk di Lembah Klang sehinggakan ada ketika penulis sendiri lupa kepada kesesakan lalu lintas disebabkan terlalu seronok ‘melayan’ jentera ini.

Ketika menyusuri selekoh-selekoh tajam dan pendek di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, sistem suspensi belakang monocross tetap memberi keyakinan kepada penulis meskipun sesetengah pihak berpendapat, ia menyebabkan motosikal membuai-buai.

Beberapa kali batang logam pada tempat letak kaki yang berfungsi sebagai penanda tahap condong maksimum semasa mengambil selekoh, menyagat permukaan jalan di pusat peranginan itu.

Di Lebuh Raya Karak pula, pada kelajuan 170 km/jam, MT-07 masih stabil, hendal kurang bergegar yang membolehkan imej pada cermin sisi nampak jelas, tidak seperti motosikal jenis lain semasa ditunggang laju.

Bagi penulis, sama ada untuk kegunaan harian di bandar atau sesekali berkonvoi jauh pada hujung minggu, apa yang pasti, keseronokan dapat dinikmati sekiranya jentera ini ditunggang secara agresif!

Motosikal pema­sangan tempatan (CKD) ini boleh didapati di semua pengedar Yamaha di seluruh negara pada harga RM36,795.78 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan maklumat teknikal MT-07, boleh layari http://www.yamaha-motor.com.my.