Dalam program itu, antara motosikal yang diubah suai dan mendapat perhatian umum adalah seperti Honda MSX, Harley Davidson Roadglide, Kawasaki ER-6, Honda CX500, Yamaha SR400 dan Speedway Malaysia.

Ujar pengasas Kelab Seni Kelajuan Malaysia, Asep Ahmad Iskandar, ini adalah kali pertama bagi beliau bersama kelab permotoran itu menyertai program Malaysia Autoshow 2018.

“Namun begitu untuk acara pameran motosikal ini di lain-lain tempat, kami telah melakukan pelbagai jelajah hampir tujuh tahun dan aktif sehingga ke hari ini.

“Sehubungan itu, peluang yang disediakan MAI membolehkan kami mengetengahkan hasil kerja seni anak tempatan dalam bidang memodifikasi motorsikal sedia ada untuk menjadi lebih menarik dan unik,” katanya kepada Utusan Online.

Asep berkata demikian ketika ditemui dalam program Malaysia Autoshow 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang berlangsung mulai hari ini hingga Ahad.

Dalam pada itu, seorang pengunjung yang juga peminat motosikal modifikasi, Zainal Kadir berkata, motorsikal yang dipamerkan dalam program tersebut membuatkan dia rasa begitu teruja.

“Rasa ‘geram’ pun ada. Mana tidaknya, kesemua motorsikal yang dibawa bagi saya sangat luar biasa dan cantik selepas menerima sentuhan orang-orang seni dalam bidang permotoran.

“Kalau saya ada modal, saya pun mahu memiliki sebuah motorsikal yang dimodifikasi seperti yang ada di dalam program ini untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi,” katanya.

Malaysia Autoshow 2018 dibuka kepada orang awam dari pukul 10 pagi hingga 9 malam dan selain menyajikan pameran automotif seperti kereta dan motosikal, pengunjung juga berpeluang untuk memandu uji kereta idaman masing-masing dan mendapat pelbagai hadiah menarik. - UTUSAN ONLINE