Demikian tegas pemilik Red Garrage Enterprise, Muhd. Eddie Iskandar Abu Zahar sekali gus menyangkal dakwaan bahawa aktiviti motosikal berkuasa tinggi di negara ini hanya sekadar menjadi minat generasi muda untuk mengisi masa lapang.

Menurutnya, aktiviti automotif itu telah berjaya melahirkan ratusan usahawan bumiputera yang membuka perniagaan seperti menjual motosikal, pusat servis dan barang ganti.

“Ya, dahulu memang motosikal berkuasa tinggi ini hanya sekadar suka-suka dan hobi tetapi kini ia menjadi budaya, cara hidup dan sumber pendapatan bagi beberapa pihak.

“Secara kasarnya terdapat kira-kira 40 syarikat yang telah menjalankan Permit Import (AP) motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenama seterusnya melahirkan ratusan usahawan lain yang membuka perniagaan yang berkaitan dengan jentera ini,” katanya kepada Pekema Auto & Industri di sini baru-baru ini.

Jelas Muhd. Eddie yang juga Pengasas KL Bike Week sejak 2008, meskipun jualan motosikal berkuasa tinggi mengalami penurunan hingga terdapat ramai pemegang AP tersebut terpaksa menghentikan operasi masing-masing, namun permintaan terhadap sukan tersebut masih ramai.

Katanya, penurunan berlaku kerana ekonomi negara tidak menentu dan masalah percukaian yang tidak masuk akal tetapi penyertaan generasi muda terhadap motosikal berkuasa tinggi masih dapat dirasai.

“Ia jelas apabila kami mengadakan aktiviti konvoi ke seluruh negara, ramai anak-anak muda yang mengakui mereka memang meminati motosikal berkuasa tinggi dan berazam untuk memilikinya apabila mempunyai kerja dan pendapatan sendiri.

“Secara tidak langsung, motosikal berkuasa tinggi ini dapat menggalakkan generasi muda untuk berusaha gigih dan tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti merempit atau menunggang di jalan raya secara berbahaya,” ujar beliau.

Dalam pada itu Muhd. Eddie memberitahu, beliau dan komuniti motosikal berkuasa tinggi sentiasa berusaha untuk memastikan aktiviti tersebut kekal relevan dalam kalangan masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program.

Kata beliau, antaranya konvoi ke seluruh pelusuk tanah air dan luar negara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei serta menganjurkan KL Bike Week yang telah memasuki tahun ke sembilan.

Tambahnya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kebajikan seperti mengumpul sumbangan dalam kalangan penunggang-penunggang motosikal turut diadakan dengan penglibatan pelbagai pihak korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).