Karnival selama tiga hari itu menampilkan pameran automotif, platform perniagaan, galeri seni, konsert, arena sukan ekstrem, zon permainan, trak makanan, perlumbaan kereta kawalan jauh dan demonstrasi drift.

Turut diadakan pertandingan perlumbaan simulasi dengan kerjasama RACEROOM, pertandingan autoshow, pertandingan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) oleh Unit Teraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan hadiah keseluruhan bernilai RM3 juta, pertandingan modifikasi kereta dan motosikal dengan hadiah bernilai RM140,000 dan Anugerah Penghargaan Automotif Asia 2017 dengan kerjasama Spanarboy.

Karnival ini dianjurkan oleh Procara Entertainment Sdn. Bhd. (Procara) dengan kerjasama antara lainnya Institut Automotif Malaysia (MAI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta OAG Entertainment Group, Motonation 2017 menawarkan hadiah cabutan bertuah yang keseluruhannya bernilai lebih RM350,000.

Menurut Pengarah Eksekutif Procara, Mohd. Nazrul Zahri, hadiah utama yang menanti pengunjung bertuah ialah sebuah kereta Audi A3 1.4 TFSI lengkap dengan aksesori tulen Audi yang didatangkan daripada Ingolstadt.

“Di samping itu, hadiah berupa motosikal Modenas MR1 dan MR2, motosikal custom Modenas V15 dan banyak iPad serta jam tangan Casio G-Shock ditawarkan kepada pengunjung.

“Orang ramai juga berpeluang memenangi lima kad isian minyak Petron bernilai RM1,000, 20 kad isian minyak Petron bernilai RM200, replika kereta Porsche edisi khas skala 1:24 dan juga payung,” katanya

Berbanding dengan acara permotoran yang pernah diadakan sebelum ini yang hanya memberikan tumpuan kepada kereta atau motosikal, Motonation adalah karnival automotif pertama di Malaysia yang melibatkan semua elemen dalam industri automotif.

Ini termasuklah agensi kerajaan, sektor pendidikan, gaya hidup, industri sokongan, permainan dan hiburan.

Sebelum acara kemuncak, siri jelajah bagi mempromosikan Motonation yang telah diadakan di Johor Bahru, Johor dan Kota Bharu (Kelantan) serta di Balai Seni Negara (Kuala Lumpur) mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Motonation 2017 nanti. Bayaran masuk RM15 sehari dikenakan kepada orang dewasa dan RM10 sehari kepada kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun.