Menampilkan reka bentuk aerodinamik dengan ciri-ciri premium unik, Kriss MR2 dijual pada harga serendah RM3,890 sekaligus menepati temanya ‘jimat poket, penuh bergaya’.

Dipadankan dengan enjin 4-lejang SOHC bersesaran 110cc, Modenas optimis model Kriss MR2 akan meningkatkan penguasaannya dalam segmen tempatan sebanyak 10 peratus menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Kejuruteraan, Pembuatan dan Pengedaran DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada peningkatan permintaan ke atas motosikal mampu milik.

“Kami percaya enjin 4-lejang berkuasa 110cc, yang menepati piawaian baharu Euro3 akan jadi tarikan kepada generasi muda,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kriss MR2 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE