MMM dalam satu kenyataan memberitahu, Triton VGT AT Premium direka khas untuk pengguna yang mengamalkan gaya hidup aktif tetapi mahukan sebuah trak pikap untuk kegunaan harian.

Jelasnya, varian baharu itu mempunyai pelbagai ciri baharu seperti rim tayar aloi bersaiz 17 inci, tempat duduk kulit serta kamera undur dengan panduan.

“Harga atas jalan (tidak termasuk insurans) Triton VGT AT Premium ialah RM116,300 sebuah dengan jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan 200,000 kilometer, mana yang dahulu.

“Sementara itu, Triton Adventure X pula didatangkan dengan rekaan Sports Bar baharu dan berharga RM126,990 sebuah (tidak termasuk insurans). Semua va­rian Triton diimport sepenuhnya (CBU) dari hab pengeluaran global Mitsubishi di Thailand,” jelasnya dalam kenyataan itu baru-baru ini.

Dalam pada itu, MMM memberi­tahu, ASX Adventure edisi terhad hanya dikeluarkan sebanyak 60 buah.

Menurutnya, model itu diberi sentuhan luaran yang berbeza dengan gril depan baharu, hiasan pada bampar belakang, tepi pintu dan penggunaan rim tayar aloi bersaiz 18 inci.

Jelasnya lagi, ruang dalaman di­­hiasi jalur biru pada bahagian tepi pintu dan tempat duduk serta kemasan aluminium pada pedal dan gelung penghawa dingin bagi memberikan sentuhan sporty dalam kabin.

“ASX Adventure tersedia untuk varian 2WD dan berharga RM123,988 sebuah untuk warna biru metalik.

“Model ini mempunyai jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan,” tambah syarikat itu.