Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang, Mark Raine berkata, kenderaan itu akan dilancarkan dalam enam minggu lagi, bagi menggantikan siri C300 yang sedia ada.

"Mercedes-Benz C350e ini berharga RM299,000 dan mengambil masa kira-kira lapan minggu untuk penghantaran," katanya kepada pemberita di majlis pratonton kenderaan mewah itu di sini.

Model C350e boleh bergerak sehingga 31 kilometer dalam mod elektrik dan mempunyai gabungan pengeluaran sebanyak 279 kuasa kuda, ia mampu mencecah 130 kilometer sejam dengan mod elektrik semata-mata, kereta ini juga boleh memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 5.9 saat dan menghasilkan gabungan pengeluaran tork sebanyak 600Nm.

"Ia boleh dicas sepenuhnya menggunakan pemalam konvensional untuk empat jam atau dua jam menggunakan pengecas kotak dinding," kata Raine.

C350e juga dilengkapkan dengan sistem hawa dingin yang membantu menyejukkan kabin sebelum pemanduan, ia juga boleh dihidupkan dengan senyap, pemulihan tenaga ketika brek dan luncuran termasuk teknologi hibrid pintar serta pendorong kelajuan.

Ia mempunyai reka bentuk dalaman dan luaran AMG, bumbung panorama, apron belakang AMG yang khusus bagi membezakan model itu dengan versi bukan hibrid.

Di samping itu, C350e juga mempunyai empat mod operasi iaitu hibrid, E-Mode, E-Save dan Charge.

Semalam, Mercedes-Benz Malaysia melancarkan GLC 250 4Matic, yang dijual pada harga tentatif RM325,888 dan kini boleh ditempah. - BERNAMA